Sepanyol melangkah ke pusingan 16 dengan penuh bergaya selepas berpesta jaringan 5-0 ke atas Slovakia pada aksi terakhir saingan kumpulan E kempen Euro 2020 yang berlangsung di Estadio de la Cartuja, Seville sebentar tadi.

Hanya mencatatkan keputusan seri pada dua perlawanan awal, Sepanyol tampil dengan kemas untuk mendominasi permainan sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil dari Belanda, Bjorn Kuipers.

Skuad kendalian Luis Enrique itu mendapat peluang untuk membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 selepas dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran Jakub Hromada terhadap Koke.

Alvaro Morata yang mengambil sepakan bagaimanapun hampa apabila rembatannya ke sebelah kanan pintu gol berjaya dibaca dengan baik penjaga gol, Martin Dubravka bagi menyelamatkan keadaan.

Dubravka yang pada mulanya dianggap wira buat Slovakia berubah menjadi punca dalam meningkatkan moral barisan pemain Sepanyol setelah beliau tertumbuk bola ke dalam gawangnya sendiri dalam cubaan untuk mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya untuk menghadiahkan jaringan pendahuluan buat skuad La Roja pada minit ke-30.

Perlawanan ini juga pastinya akan diingati Aymeric Laporte selepas beliau menjadikan kedudukan 2-0 pada masa kecederaan babak pertama hasil tandukannya yang menewaskan Dubravka.

Aksi babak kedua menyaksikan Sepanyol terus mengganas dalam menambah jaringan dimana tiga lagi gol berjaya dihasilkan.

Jaringan ketiga mereka terhasil pada minit ke-56 selepas Pablo Sarabia berjaya menolak masuk bola dalam kawasan penalti setelah beliau menerima hantaran kemas daripada Jordi Alba.

Berselang sembilan minit kemudian, giliran Ferran Torres pula mengukuhkan kedudukan apabila beliau melakukan kuisan bersahaja berpunca daripada hantaran Sarabia hanya selepas seminit beliau dimasukkan.

Tidak cukup dengan empat jaringan tersebut, Sepanyol memperolehi jaringan kelima pada minit ke-72 selepas Juraj Kucka pula menghasilkan jaringan sendiri ketika beliau cuba untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Pesta jaringan di laman sendiri itu menyaksikan Sepanyol menamatkan saingan kumpulan selaku naib juara dimana Sweden muncul juara kumpulan selepas berjaya menundukkan Poland 3-2 dalam satu lagi aksi.