Sepanyol berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Kejuaraan Euro 2020 selepas menundukkan Switzerland 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti ketika aksi 120 minit terikat 1-1 pada perlawanan yang berlangsung di Gazprom Arena, Saint Petersburg sebentar tadi.

Corak persembahan ditampilkan kedua-dua pasukan yang sebelum ini dipaksa bekerja keras untuk layak ke peringkat suku akhir kelihatan sedikit kurang menyerlah terutamanya pada 90 minit perlawanan.

Sepanyol bagaimanapun tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila percubaan voli dilakukan Jordi Alba seawal kelapan membias terkena kaki Denis Zakaria lalu bola bergolek masuk ke gawang Switzerland yang dikawal Yann Sommer.

Skuad kendalian Luis Enrique yang mendominasi sebahagian besar permainan mendapat peluang untuk menambah jaringan pada minit ke-25 menerusi Cesar Azpilicueta.

Namun, tandukan pertahanan kanan itu selepas menerima hantaran sepakan penjuru daripada Koke berjaya ditangkap kemas Sommer untuk menyelamatkan gawangnya.

Bagaikan mendapat tonik berguna ketika rehat, Switzerland kelihatan lebih berbahaya pada separuh masa kedua dengan beberapa percubaan dijelmakan ke arah pintu gol Sepanyol.

Bermula dengan tandukan Denis Zakaria yang menerima hantaran sepakan penjuru daripada Ricardo Rodriguez tetapi sedikit tersasar ke sebelah kanan pintu gol ketika Unai Simon hanya mampu memerhatikan sahaja bola tersebut pada minit ke-56.

Berselang lapan minit kemudian, Steven Zuber pula menguji Unai Simon setelah beliau melakukan percubaan dari jarak dekat, namun Unai lebih bersedia untuk menafikan cubaan itu.

Jaringan penyamaan yang dinantikan kem Switzerland akhirnya hadir juga pada minit ke-68 apabila Xherdan Shaqiri menyempurnakan peluang dalam kawasan penalti susulan salah faham daripada Aymeric Laporte dan Pau Torres bagi kembali mengikat kedudukan.

Switzerland kemudiannya terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Remo Frueler dilayangkan kad merah susulan terjahan kasar dilakukannya terhadap Gerard Moreno.

Aksi kemudiannya berlanjutan ke masa tambahan dengan Sepanyol jelas menguasai permainan berikutan kelebihan seorang pemain yang dimiliki.

Keadaan itu juga memberikan ruang cukup luas buat skuad La Roja untuk mendapatkan jaringan apabila mereka memiliki deretan peluang terbaik untuk kembali di hadapan.

Yann Sommer bagaimanapun jelas kental bertahan apabila beliau mempamerkan ketangkasan dengan menafikan masing-masingdua percubaan berbahaya daripada Moreno dan Mikel Oryazabal serta satu rembatan luar kawasan penalti diledakkan Alba serta Dani Olmo.

Hujan serangan dilancarkan Sepanyol selepas itu masih belum mampu untuk menjelmakan jaringan kemenangan memaksa pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Nasib kini tidak lagi menyebelahi Switzerland seperti bertemu Perancis tempoh hari apabila Fabian Schar, Manuel Akanji dan Ruben Vargas gagal menyempurnakan sepakan sekali manakala Dani Olmo, Moreno dan Oryazabal pula tenang untuk membawa Sepanyol ke peringkat separuh akhir.