Rusia kembali menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat 16 selepas berjaya menundukkan Finland 1-0 pada aksi kedua Euro 2020 yang berlangsung di Gazprom Arena, Saint Petersburg sebentar tadi.

Tewas 0-3 pada aksi sulung bertemu Belgium tempoh hari, tuan rumah tampil garang dengan menguasai sebahagian besar permainan.

Skuad kendalian Stanislav Cherchesov itu bagaimanapun hampir tersentak seawal minit ketiga apabila Joel Pohjanpalo berjaya membolosi gawang Rusia yang dikawal Matvey Safonov.

Namun, tandukan penjaring gol kemenangan Finland ke atas Denmark itu terpaksa dibatalkan Video Assistant Referee (VAR) kerana beliau berada dalam kedudukan ofsaid ketika Jukka Raitala cuba melakukan hantaran lintang.

Rusia memiliki peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan pendahuluan pada minit ke-10 tetapi percubaan Magomed Ozdoev ketika beliau tidak dikawal dalam kawasan penalti selepas menerima lorongan baik Aleksei Miranchuk sekadar melewati palang gol.

Pemain pertahanan, Igor Diveev memainkan peranan penting dalam menghalang gawang Rusia daripada dibolosi pada minit ke-20 apabila beliau pantas menghalang usaha Pohjanpalo yang mendapat lorongan Robin Lod dalam kawasan penalti.

Ribuan penyokong Rusia di Gazprom Arena melonjak kegembiraan ketika permainan memasuki masa kecederaan babak pertama selepas Miranchuk dengan tenang mengawal bola lalu melakukan percubaan ‘placing’ yang menewaskan Lukas Hredecky.

Aksi di babak kedua menyaksikan kedua-dua keras berusaha keras untuk melancarkan serangan tetapi kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk memberikan kemenangan berharga buat Rusia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Euro 2020:

Euro 2020: Jaringan Sendiri Hummels Ceriakan Perancis Di Munich

Euro 2020: Rekod Peribadi Ronaldo Serikan Kejayaan Portugal Atasi Hungary

Euro 2020: Ketangkasan Robin Olsen Pastikan Sepanyol Hampa