Portugal masih berada dalam persaingan Euro 2020 apabila turut melangkah ke pusingan 16 selepas mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Perancis pada aksi yang berlangsung di Ferenc Puskas Arena, sebentar tadi.

Perlawanan penentuan yang pastinya menarik perhatian jutaan penyokong bola sepak dunia itu menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan menarik dalam memburu jaringan.

Portugal yang tunduk di tangan Jerman tempoh hari terlebih dahulu memperoleh peluang mengancam kubu Perancis tetapi tandukan Cristiano Ronaldo selepas menerima umpanan Renato Sanches mudah ditangkap kemas penjaga gol, Hugo Lloris pada minit keenam.

Permainan bertambah menarik berselang 10 minit kemudian apabila lorongan cantik dari tengah padang dilakukan Paul Pogba terus membolehkan Kylian Mbappe melepasi kawalan pertahanan Portugal.

Percubaan tonggak utama Perancis itu bagaimanapun berjaya dinafikan Rui Patricio ketika beliau hanya berhadapan dengan penjaga gol tersebut dalam kawasan penalti.

Ronaldo berjaya memisahkan kedua-dua pasukan pada minit ke-31 selepas bintang dunia itu tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan Lloris terhadap Danilo Pereira.

Kelebihan itu dipadamkan oleh Karim Benzema pada masa kecederaan babak pertama juga menerusi sepakan penalti setelah Nelson Semedo menjatuhkan Mbappe dalam kawasan penalti.

Sebaik sahaja aksi separuh masa kedua bersambung, Benzema meletakkan Perancis di hadapan pada minit ke-47 selepas beliau dengan tenang menyudahkan peluang susulan hantaran menarik daripada Pogba.

Benzema yang pada mulanya kecewa selepas jaringan tersebut dibatalkan kembali ceria apabila rujukan Video Assistant Referee (VAR) mengesahkan jaringan yang dihasilkannya itu.

Kegembiraan kem Perancis itu hanya bertahan selama 13 minit apabila Portugal sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti kerana bola hasil hantaran lintang daripada Ronaldo terkena tangan Jules Kounde dalam kawasan penalti.

Ronaldo yang sudah pastinya diberikan tugasan tersebut tenang menyepak masuk untuk kembali mengikat kedudukan. Gol kedua Ronaldo itu juga sekali gus telah menyamai pencapaian 109 gol dicatatkan penjaring terbanyak di peringkat antarabangsa, Ali Daei.

Memasuki minit ke-68, Rui Patricio bertindak cemerlang dalam menafikan percubaan jarak jauh daripada Pogba dan rembatan susulan Antoine Griezmann bagi menyelamatkan gawangnya.

Kedudukan terikat itu kekal hingga tamat perlawanan untuk Perancis mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan manakala Portugal turut layak ke pusingan 16 selaku pasukan terbaik di kedudukan ketiga.

Ini bermakna Perancis akan berdepan Switzerland manakala Portugal yang merupakan juara bertahan Kejuaraan Euro akan membuat perhitungan dengan Belgium di Seville.