Itali memulakan kempen Kejuaraan Euro 2020 dengan langkah kanan apabila berjaya mencatatkan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Turki pada aksi yang berlangsung di Stadio Olimpico, sebentar tadi.

Beraksi di laman sendiri, juara edisi 1968 itu jelas berada di kelas tersendiri berikutan aksi kemas ditampilkan sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil dari Belanda, Danny Desmond Makkelie.

Ditunjangi barisan pemain pertahanan berpengalaman dan berkualiti, Itali langsung tidak membenarkan Turki untuk melakukan sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol yang dikawal, Gianluigi Donnarumma.

Separuh masa pertama menyaksikan tiada jaringan dihasilkan meskipun skuad kendalian Roberto Mancini itu memiliki peluang terbaik menerusi ketua pasukan, Giorgio Chiellini pada minit ke-22.

Pemain berusia 36 tahun itu melonjak tinggi untuk menanduk bola hasil sepakan penjuru yang diambil Lorenzo Insigne, namun penjaga gol Turki, Ugurcan Cakir cemerlang menafikan percubaan tersebut.

Usaha bertali-arus barisan pemain Itali membuahkan hasil pada babak kedua dimana gol pembukaan terhasil pada minit ke-53 menerusi jaringan sendiri, Merih Demiral.

Demiral yang merupakan pemain Juventus tertampan bola ke gawang sendiri dalam usahanya untuk menghalang hantaran lintang daripada Domenico Berardi.

Jaringan tersebut jelas menyemarakkan lagi api perjuangan Itali untuk melebarkan kedudukan dan Ciro Immobile merealiasikan impian tersebut pada minit ke-66.

Berpunca daripada percubaan awal dilakukan Leonardo Spinazzola yang berjaya ditepis Cakir, Immobile yang tidak dikawal pertahanan Turki dengan tenang menolak masuk bola untuk jaringan kedua buat Itali.

Insigne mematikan sisa perjuangan anak buah Senol Gunes ketika perlawanan memasuki minit ke-79 apabila beliau menyempurnakan peluang dengan sepakan ‘placing’ cantik susulan kesilapan awal Cakir yang melakukan sepakan ke arah Berardi.