Sepanyol gagal memanfaatkan dominasi penuh ditampilkan sepanjang perlawanan selepas terikat tanpa jaringan bertemu Sweden pada aksi kumpulan E saingan Euro 2020 yang berlangsung di Estadio La Cartuja de Sevilla, sebentar tadi.

Buat pertama kali turun tanpa seorang pun pemain dari Real Madrid, Sepanyol yang dibimbing Luis Enrique menyajikan corak permainan meyakinkan sejak dari wisel permulaan ditiup pengadil dari Slovenia, Slavko Vincic.

Ia jelas dibuktikan apabila skuad La Roja itu memiliki penguasaan bola sebanyak 85 peratus dan menghasilkan 17 serangan dimana lima daripadanya merupakan percubaan tepat ke arah pintu gol Sweden.

Bagaimanapun, anak buah Jan Andersson itu kekal berdisiplin dalam mengekang ‘hujan’ asakan yang diterima dan penjaga gol, Robin Olsen juga cemerlang menafikan lima serangan berbahaya daripada Sepanyol.

Dani Olmo mendapat peluang terbaik pada minit ke-16 selepas menerima hantaran menarik daripada Koke. Namun, tandukannya dalam kawasan penalti berjaya dinafikan Olsen bagi menyelamatkan keadaan.

Kecuaian pertahanan Sweden dalam kawasan penalti hampir dihukum tetapi percubaan daripada Koke hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol.

Berselang enam minit kemudian, Koke pula kecewa selepas percubaannya ketika beliau tidak dikawal pertahanan Sweden hanya melewati palang gol.

Alvaro Morata turut menerima nasib yang sama apabila percubaan ‘placing’ ketika hanya berhadapan dengan Olsen tersasar di sebelah kiri pintu gol Sweden pada minit ke-38.

Teruk ditekan dengan hebat, Sweden sesekali cuba untuk bangkit melawan dan peluang terbaik mereka hadir pada lewat babak pertama menerusi Alexander Isak.

Isak yang berjaya melepasi pertahanan Sepanyol melepaskan rembatan dari jarak dekat, bagaimanapun Marcos Llorente menghalang percubaan tersebut lalu bola mengenai tiang sekali gus ditangkap penjaga gol, Unai Simon.

Penyerang berusia 21 tahun itu terus menjadi masalah buat Sepanyol apabila gerakan solonya pada minit ke-61 berjaya melepasi tiga pemain pertahanan lawan, tetapi hantaran lintangnya gagal disudahkan dengan baik oleh Berg ketika pintu gol sudah pun terbuka luas.

Sepanyol terus menggandakan asakan untuk mendapatkan jaringan yang diharapkan. Bagaimanapun, Olsen masih kental bertahan terutamanya pada lewat permainan bagi mengelakkan gawangnya daripada dibolosi untuk mencuri satu mata pada perlawanan ini.

Keputusan ini juga menjadi satu-satunya aksi yang berkesudahan tanpa jaringan selepas berlangsungnya 10 perlawanan.