Kegagalan Kylian Mbappe menyempurnakan sepakan penalti menyebabkan Perancis terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat Kejuaraan Euro 2020 apabila tumbang 4-5 di tangan Switzerland menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi 120 minit terikat 3-3.

Keputusan di National Arena, Bucharest itu nyata sesuatu yang cukup mengejutkan jika melihatkan kepada status Perancis selaku juara dunia dan antara pasukan pilihan untuk menjuarai saingan.

Kemenangan bermakna tersebut menyaksikan Switzerland akan berhadapan Sepanyol pada aksi suku akhir yang bakal berlangsung di Gazprom Arena, Saint Petersburg.

Turun selaku juara kumpulan F yang turut terdiri daripada Jerman dan Portugal, Perancis bagaimanapun gagal menjelmakan corak permainan menarik pada separuh masa pertama.

Ia jelas terbukti apabila Les Blues gagal memperoleh sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol Switzerland pada babak pertama meskipun berusaha melancarkan serangan berbahaya.

Sebaliknya, anak buah Vladimir Petkovic itu terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Haris Seferovic yang berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran cantik dilakukan Steven Zuber pada minit ke-15.

Lebih banyak drama menarik yang dapat disaksikan pada aksi babak kedua apabila Switzerland terlepas peluang untuk menambah jaringan pada minit ke-55 selepas sepakan penalti Ricardo Rodriguez berjaya ditepis Hugo Lloris.

Keadaan itu nyata menyemarakkan api perjuangan Perancis untuk mendapatkan jaringan penyamaan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-57 menerusi Karim Benzema.

Benzema yang mendapat lorongan daripada Kylian Mbappe dalam kawasan penalti dengan bijak melakukan kuisan sekali gus menewaskan penjaga gol Switzerland, Yann Sommer.

Dua minit kemudian, peledak berbisa berusia 32 tahun itu sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring selepas beliau menanduk masuk bola susulan hantaran Antoine Griezmann yang pada mulanya cuba dihalang Sommer.

Namun, kegagalan Sommer untuk menangkap bola tersebut memberikan ruang yang cukup luas buat Benzema bagi meletakkan Perancis di hadapan buat pertama kali pada perlawanan itu.

Paul Pogba mengukuhkan kedudukan buat Perancis dengan jaringan ketiga hasil ‘placing’ menarik dari luar kawasan penalti yang terus mencari bucu pintu gol pada minit ke-75.

Masih belum mahu mengangkat bendera putih susulan jaringan tersebut, Switzerland memperkemaskan aksi bagi mendapatkan jaringan dalam usaha mereka menghidupkan kembali peluang untuk terus bersaing.

Segalanya berada di landasan tepat apabila Seferovic sekali lagi berjaya mendapatkan jaringan kedua menerusi tandukan selepas beliau menyambar hantaran daripada Kevin Mbabu pada minit ke-81.

Jaringan tersebut jelas meningkatkan moral para pemain Switzerland untuk terus memburu jaringan dan hampir menyamakan kedudukan berselang empat minit kemudian menerusi Mario Gavranovic,

Gol daripada Gavranovic itu bagaimanapun dibatalkan selepas beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Kehampaan itu bagaimanapun ditebus sendiri oleh Gavranovic di masa kecederaan apabila beliau menerima lorongan daripada Granit Xhaka dan kemudiannya melepaskan rembatan rendah yang menewaskan Lloris bagi kembali menyamakan kedudukan.

Ketika aksi semakin menuju penghujung, Kingsley Coman hampir menghadiahkan jaringan kemenangan buat Perancis tetapi percubaannya sekadar singgah di palang gol untuk memaksa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.

Memasuki aksi di masa tambahan, corak permainan saling menyerang ditampilkan kedua-dua pasukan dengan Perancis mencipta peluang terbaik pada minit ke-95 tetapi rembatan jarak dekat daripada Benjamin Pavard ditepis keluar Sommer.

Penjaga gol berusia 32 tahun itu sekali lagi kental bertahan apabila beliau melayangkan badan ketika cuba menyelamatkan tandukan daripada penyerang gantian, Oliver Giroud sekali gus pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Sommer meneruskan kecemerlangannya selepas muncul wira buat Switzerland apabila beliau berjaya menafikan sepakan kelima yang diambil Mbappe untuk membawa pasukannya mara ke suku akhir.