Sweden mencatatkan kemenangan penting bagi mencerahkan peluang untuk layak ke pusingan 16 apabila berjaya menundukkan Slovakia 1-0 pada aksi kedua saingan kumpulan E Euro 2020 yang berlangsung di Gazprom Arena, Saint Petersburg sebentar tadi.

Jaringan kemenangan yang diraih skuad kendalian Jan Andersson itu menjelma selepas Emil Forsberg berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-77

Aksi pada babak pertama nyata sedikit hambar apabila tidak banyak serangan berbahaya yang dapat disaksikan tetapi memasuki separuh masa kedua, keadaan jelas berubah.

Ia jelas terbukti apabila Sweden dilihat begitu garang melakukan serangan ke arah pintu gol Slovakia yang dikawal penjaga gol, Martin Dubravka.

Penjaga gol yang beraksi bersama Newcastle United itu bertindak cemerlang dalam menafikan dua peluang keemasan yang dimiliki Sweden.

Berpunca daripada hantaran lintang menarik daripada Sebastian Larson yang memberikan peluang buat Ludwig Augustinsson melakukan tandukandalam kawasan penalti pada minit ke-59 tetapi Dubravka menjadi penghalang usaha Sweden mendapatkan jaringan pendahuluan.

Memasuki minit ke-71, Alexander Isak pula mendapat peluang selepas gerakan solonya ke dalam kawasan penalti berjaya melepasi kawalan tiga pemain pertahanan Slovakia. Bagaimanapun, percubaan leret dilakukannya ditepis keluar Dubravka.

Kecemerlangan Dubravka akhirnya terhenti pada minit ke-77 apabila kesilapannya melakukan kekasaran terhadap pemain gantian, Robin Quaison menyebabkan pengadil perlawanan, Daniel Siebert menghadiahkan sepakan penalti buat Sweden.

Emil Forsberg yang mengambil sepakan itu tidak berdepan masalah menyempurnakan peluang untuk memecah kebuntuan meskipun Dubravka sudah berjaya membaca arah bola.

Slovakia yang meraih kemenangan bertemu Poland tempoh hari jelas tidak mahu menyerah kalah apabila berusaha keras memberikan tekanan cukup hebat bagi mendapatkan jaringan penyamaan.

Bagaimanapun, usaha mereka tidak membuahkan hasil untuk Sweden meraih tiga mata berharga sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah selepas berjaya mengikat Sepanyol pada aksi pertama, Selasa lalu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Euro 2020:

Euro 2020: Ukraine Lepasi Tentangan Hebat Macedonia Utara

Euro 2020: Terus Catat Kemenangan, Itali Sahkan Tempat Ke Pusingan 16

Euro 2020: Sumbangan Berkesan Gareth Bale Pastikan Wales Atasi Turki