Austria mencatatkan kemenangan bermakna pada aksi terakhir peringkat kumpulan saingan Euro 2020 apabila menundukkan Ukraine 1-0 pada aksi yang berlangsung di National Arena, Bucharest sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus membantu Austria melayakkan diri ke pusingan 16 bagi mengiringi juara kumpulan, Belanda sebagai wakil kumpulan C sekali gus akan berhadapan dengan Itali di Wembley.

Turun dengan misi yang sama untuk meraih kemenangan sekali gus mengiringi Belanda ke pusingan 16 sebagai wakil kumpulan B, kedua-dua pasukan tampil dengan corak permainan terbuka bagi mendapatkan jaringan.

Keadaan itu menyaksikan Austria lebih banyak melancarkan serangan terutamanya pada babak pertama sehingga membolehkan skuad kendalian Franco Foda itu berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-21.

Jaringan itu berpunca daripada usaha Christoph Baugartner yang menghulurkan kakinya ketika dicabar pertahanan lawan untuk menolak masuk bola hasil hantaran sepakan penjuru daripada David Alaba.

Gol penting itu juga menjadikan Baumgartner sebagai penjaring termuda setakat ini dalam saingan Euro 2020 [21 tahun dan 324 hari].

Ukraine yang sedikit bergelut untuk mempamerkan aksi seperti dua perlawanan terdahulu turut mendapat peluang untuk mendapatkan jaringan tetapi rembatan Mykola Shaparenko dalam kawasan penalti berjaya ditepis keluar penjaga gol, Danial Bachmann pada minit ke-29.

Austria kemudiannya terlepas dua peluang keemasan apabila percubaan ‘placing’ cantik Stefan Lainer ditepis Georgiy Bushchan manakala Marko Arnautovic pula sekadar melakukan tolakan tersasar setelah menerima umpanan menarik daripada Alessandro Schoepf.

Skuad kendalian Andriy Schevchenko itu pula memperoleh peluang terbaik pada minit ke-61 menerusi sepakan percuma tapi tandukan Lainer yang terus ke gawangnya ketika cuba mengeluarkan bola daripada kawasan berbahaya berjaya ditepis keluar Bachmann bagi menyelamatkan keadaan.

Sama seperti Switzerland yang menamatkan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga, Ukraine juga terpaksa menunggu keputusan lain sebelum mengetahui nasib mereka dalam kempen kali ini.