Itali mengulangi pencapaian edisi 1968 untuk sekali lagi menjulang trofi Euro apabila berjaya menundukkan England 3-2 menerusi sepakan penalti selepas aksi 120 minit perlawanan terikat 1-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Wembley, sebentar tadi.

Terpaksa menghadapi puluhan ribu penyokong England jelas tidak membuatkan anak buah Roberto Mancini itu gentar apabila Itali dilihat lebih mempamerkan aksi menarik.

Ia jelas dibuktikan dengan deretan beberapa percubaan tepat ke arah pintu gol England yang dikawal penjaga gol, Jordan Pickford berjaya dilancarkan Itali terutamanya pada babak kedua.

Selain itu, skuad Azzurri itu juga lebih mendominasi permainan sebaik wisel permulaan ditiup pengadil dari Belanda, Bjorn Kuipers.

Namun, England hanya memerlukan dua minit sahaja untuk membuka tirai jaringan apabila Luke Shaw yang menerima umpanan daripada Kieran Trippier dalam kawasan penalti, melakukan percubaan voli menarik yang berjaya menewaskan Gianluigi Donnarumma.

Itali kemudiannya tampil dengan lebih kemas pada babak kedua dan mendapat peluang pada minit ke-62 menerusi Federico Chiesa.

Rembatan pemain Juventus itu selepas berjaya melepasi kawalan pertahanan England bagaimanapun dengan tenang dinafikan Pickford bagi menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Jaringan penyamaan Itali hadir berselang lima minit kemudian apabila Leonardo Bonucci berjaya menolak masuk bola susulan situasi sepakan sudut yang pada mulanya tandukan Marco Veratti terkena tiang gol.

Kedudukan 1-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk perlawanan berlanjutan ke masa tambahan dimana hanya percubaan jarak jauh menerusi sepakan percuma Federico Bernadeschi di minit ke-107 menjadi satu-satunya percubaan tepat yang dapat disaksikan.

Berikutan kedudukan yang masih terikat selepas 120 minit pemenang edisi kali ini terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Ketangkasan Gianluigi Donnarumma yang menepis sepakan Jadon Sancho dan Bukayo Saka serta percubaan Marcus Rashford terkena tiang gol akhirnya mengesahkan kejuaraan Euro 2020 menjadi milik Itali.

Sepakan penalti

Itali

1) Domenico Berardi (/) – Gol

2) Andrea Belotti (X) – Diselamatkan Jordan Pickford

3) Leonardo Bonucci (/) – Gol

4) Federico Bernadeschi (/) – Gol

5) Jorginho (X) – Diselamatkan Jordan Pickford

England

1) Harry Kane (/) – Gol

2) Harry Maguire (/) – Gol

3) Marcus Rashford (X) – Terkena tiang gol

4) Jadon Sancho (X) – Ditepis Gianluigi Donnarumma

5) Bukayo Saka (X) – Ditepis Gianluigi Donnaruma