Itali melangkah ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Euro 2020 dengan bergaya selepas berjaya menundukkan pasukan ranking nombor satu dunia, Belgium 2-1 pada yang berlangsung di Allianz Arena, Munich sebentar tadi.

Kemenangan bermakna tersebut menyaksikan Sepanyol bakal menjadi cabaran terbaharu buat Itali dalam usaha skuad Azzurri itu untuk mengulangi pencapaian bergelar juara pada edisi 1968.

Itali hampir berada di hadapan seawal minit ke-13 apabila Leonardo Bonucci berjaya membolosi gawang Belgium hasil situasi sepakan percuma tetapi jaringan tersebut dibatalkan Video Assistant Referee (VAR) selepas Giorgio Chiellini dikesan berada dalam keadaan ofsaid.

Anak buah Roberto Martinez kemudiannya mendapat peluang terbaik selepas Kevin De Bruyne meledakkan rembatan menarik dari luar kawasan penalti tetapi percubaan pada minit ke-22 itu ditepis keluar penjaga gol, Gianluigi Donnarumma.

Berselang empat minit kemudian, Donnarumma sekali lagi bertindak cemerlang dengan menafikan percubaan rendah daripada Romelu Lukaku dalam kawasan penalti.

Permainan semakin menarik ketika perlawanan memasuki minit ke-31 apabila Nicollo Barella berjaya membuka tirai jaringan menerusi rembatan padu bagi memberikan kelebihan buat Itali.

Berpunca daripada kesilapan ketua pasukan, Jan Vertonghen yang tidak mengeluarkan boal dari kawasan bahaya memberikan ruang buat Marco Veratti untuk melakukan hantaran kepada Barella.

Barella yang berjaya melepasi kawalan tiga pemain dalam kawasan penalti tidak menunggu lama untuk meledakkan rembatan padu yang terkena tiang gol dan kemudiannya membolosi gawang Belgium.

Tidak cukup dengan gol pembukaan tersebut, skuad kendalian Roberto Mancini itu menambah jaringan kedua pada minit ke-44 menerusi Lorenzo Insigne yang melakukan gerakan solo dari kawasan tengah, kemudiannya melepaskan rembatan dari jarak jauh sekali gus menewaskan penjaga gol, Thibaut Courtois.

Belgium yang tersentak dengan dua jaringan itu berusaha untuk memberikan tekanan buat Itali pada lewat separuh masa pertama dan ia nyata membuahkan hasil selepas mereka dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan Giovanni Di Lorenzo terhadap Jeremy Doku.

Lukaku yang mengambil sepakan jelas tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan peluang tersebut bagi merapatkan defisit jaringan pada masa kecederaan.

Penyerang berbisa Inter Milan itu terlepas peluang terbaik untuk kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-61 apabila tolakannya ketika menerima hantaran lintang menarik daripada De Bruyne dihalang oleh Leonardo Spinazzola betul-betul dihadapan pintu gol.

Lapan minit kemudian, Insigne pula melakukan percubaan melencong dari luar kawasan penalti tetapi Courtois lebih bersedia untuk menyelamatkan pintu golnya.

Usaha keras kedua-dua pasukan bagi mengubah kedudukan selepas itu tidak mendatangkan hasil untuk kedudukan 2-1 kekal hingga tamat permainan menandakan pesta buat Itali layak ke separuh akhir.