Jaringan tunggal daripada pemain sayap, Raheem Sterling sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan buat England pada perlawanan sulung saingan kumpulan D Euro 2020 selepas menundukkan Croatia 1-0 pada aksi yang berlangsung sebentar tadi.

Perlawanan ini juga menyaksikan buat pertama kali sejak tahun 1992 tiada pemain Manchester United dan Liverpool berada dalam kesebelasan utama.

Selain itu, kejayaan meraih tiga mata ini juga merupakan pertama kali England meraih kemenangan pada aksi sulung dalam kempen Euro.

Harry Kane dan rakan sepasukan memulakan aksi di Stadium Wembley itu dengan langkah meyakinkan apabila menjelmakan dua peluang terbaik pada 10 minit awal permainan.

Percubaan ‘placing’ dalam kawasan penalti menerusi Phil Foden setelah menerima lorongan daripada Raheem Sterling berjaya menewaskan penjaga gol, Dominik Livakovic tetapi bola hanya singgah di tiang gol pada minit keenam.

Berselang tiga minit kemudian, Kalvin Phillips pula memberikan ancaman selepas beliau melepaskan rembatan voli dari luar kawasan penalti, namun Livakovic lebih bersedia untuk menepis keluar percubaan tersebut.

Selepas itu tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang aksi kedua-dua pasukan dilihat lebih berhati-hati untuk kedudukan tanpa jaringan kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Luka Modric menguji gawang England pada minit ke-54 tetapi percubaannya dari luar kawasan penalti mudah ditangkap penjaga gol, Jordan Pickford bagi menyelamatkan keadaan.

Berselang tiga minit kemudian, kem England melonjak kegembiraan apabila Raheem Sterling berjaya menolak masuk bola hasil lorongan menarik dilakukan Kalvin Phillips untuk memberikan kelebihan jaringan buat skuad The Three Lions.

England mendapat peluang untuk menambah jaringan pada minit ke-61tetapi percubaan Kane ketika pintu gol sudah pun terbuka luas susulan hantaran lintang daripada Mason Mount meliar.

Mount juga hampa pada minit ke-67 selepas sepakan percuma cantik yang diambil pemain tengah itu hanya sedikit melewati palang gol Croatia.

Croatia yang dibimbing Zlatko Dalic turut mencipta beberapa peluang untuk kembali menyamakan kedudukan tetapi usaha mereka masih belum mampu untuk menghalang England daripada mencatatkan kemenangan sulung.