Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Jaringan Antoine Griezmann pada babak kedua menyelamatkan pasukan pilihan, Perancis daripada mengalami kekalahan apabila terikat 1-1 bertemu Hungary pada aksi kedua saingan Euro 2020, sebentar tadi.

Juara Piala Dunia 2018 itu jelas berada di kelas tersendiri apabila dilihat memberikan tekanan hebat buat tuan rumah sebaik sahaja perlawanan dimulakan pengadil dari England, Micheal Oliver.

Perancis hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-14 tetapi dua percubaan berturut-turut dijelmakan Karim Benzema dan Antoine Griezmann berjaya dinafikan dengan cemerlang penjaga gol, Peter Gulacsi.

Memasuki minit ke-17, giliran Kylian Mbappe pula kecewa selepas tandukannya ketika beliau tidak dikawal pertahanan lawan dalam kawasan penalti susulan hantaran lintang menarik daripada Lucas Digne tersasar di sebelah kiri pintu gol Hungary.

Tekanan hebat terus diberikan dengan Mbappe melakukan hantaran ke belakang buat Benzema yang mendapat peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan pada minit ke-31.

Bagaimanapun, percubaan penyerang yang kembali memperkuatkan skuad kebangsaan Perancis itu tersasar di sebelah kiri ketika beliau hanya berhadapan dengan Gulacsi.

Percubaan dalam kawasan penalti dilakukan Mbappe dan Pogba selepas itu juga masih gagal untuk menghasilkan jaringan yang begitu diharapkan kem Perancis.

Dalam keghairahan pemain Les Blues mengatur serangan, Attila Fiola mengejutkan skuad kendalian Didier Deschamps pada masa kecederaan babak pertama apabila beliau dengan tenang menyudahkan peluang berikutan permainan ‘satu-dua’ bersama Rolland Sallai.

Beliau yang meluru pantas ke kawasan penalti Perancis tidak melepaskan peluang terhidang untuk menolak masuk bola bagi menewaskan penjaga gol, Hugo Lloris sekali gus memisahkan kedua-dua pasukan.

Jaringan yang nyata menggamatkan Ferenc Puskas Stadium, Budapest dimana stadium tersebut dibanjiri puluhan ribu penyokong setia tuan rumah.

Kemasukan pemain lincah, Ousmane Dembele dilihat memberikan nilai tambah buat jentera serangan Perancis dan beliau hampir mendapatkan jaringan pada minit ke-59 tetapi rembatannya dalam kawasan penalti sekadar singgah di tiang gol.

Jaringan yang dinantikan Perancis akhirnya menjelma pada minit ke-66 apabila sepakan jauh daripada Lloris terus mencari Mbappe yang kemudiannya melakukan hantaran di hadapan pintu gol Hungary.

Ketika Willi Orban gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya, Griezmann yang tidak dikawal pemain pertahanan meluru pantas untuk meledakkan rembatan bagi kembali menyamakan kedudukan.

Sedar hanya kemenangan akan mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya, Perancis terus menggandakan asakan bagi memburu jaringan kemengan.

Mbappe memperoleh peluang keemasan ketika aksi sebenar berbaki lapan minit untuk ditamatkan tetapi Gulacsi bertindak cemerlang dalam menafikan rembatannya dalam kawasan penalti.

Namun, kedudukan 1-1 itu kekal hingga tamat permainan dan keputusan yang dicatatkan itu sudah pastinya bukanlah sesuatu yang diharapkan oleh Perancis pada perlawanan ini.

Dengan keputusan seri yang dicatatkan, Perancis kini menghuni tangga teratas kumpulan F dengan mengumpul empat mata, berkelebihan satu mata di hadapan Portugal yang akan berdepan Jerman, sebentar lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Euro 2020:

Euro 2020: Jaringan Sendiri Hummels Ceriakan Perancis Di Munich

Euro 2020: Rekod Peribadi Ronaldo Serikan Kejayaan Portugal Atasi Hungary

Euro 2020: England, Scotland Sama Buntu Di Wembley

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group