Dua jaringan pada lewat permainan membantu Belgium mengekalkan rekod bersih dalam saingan kumpulan B kejuaraan Euro 2020 setelah berjaya menundukkan Finland 2-0 pada aksi di Gazprom Arena, Rusia sebentar tadi.

Belgium yang terlebih awal mengesahkan tempat ke pusingan 16 pada minggu lalu membariskan Eden Hazard, Kevin De Bruyne dan Jeremy Doku di kesebelasan utama bagi membantu penyerang tunggal, Romelu Lukaku.

Keadaan itu jelas memberikan kelebihan buat Belgium yang dilihat mendominasi sebahagian besar aksi di separuh masa pertama dengan menjelmakan beberapa serangan berbahaya.

Namun, Finland yang meletakkan lima pemain pertahanan jelas kental bertahan, tambahan pula dengan kekentalan ditunjukkan penjaga gol, Lukas Hradecky dalam menafikan percubaan pasukan ranking nombor satu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu.

Pemain tengah, Axel Witsel cuba untuk mengancam kubu Finland menerusi percubaan daripada luar kawasan penalti tetapi rembatan leretnya itu mudah ditangkap Hradecky pada minit ke-23.

Tandukan Lukaku di hadapan pintu gol selepas menerima umpanan cantik daripada De Bruyne ketika perlawanan memasuki minit ke-37 juga tidak memberikan banyak masalah buat penjaga gol berusia 31 tahun itu.

Hradecky turut bertindak cemerlang dalam menepis keluar percubaan menarik dalam kawasan penalti diledakkan Doku pada minit ke-42.

Lukaku hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-65 tetapi jaringannya dibatalkan oleh Video Assistant Referee (VAR) selepas beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Kehampaan itu berjaya ditebus berselang sembilan minit kemudian apabila tandukan Thomas Vermaelen hasil sepakan penjuru De Bruyne terkena Hradecky ketika beliau cuba untuk mengeluarkan bola dari gawangnya bagi membantu Belgium memecah kebuntuan.

Bagaikan mendapat tonik berguna susulan jaringan pembukaan tersebut, Lukaku yang menerima lorongan cantik daripada De Bruyne melakukan ‘turning’ dan kemudiannya merembat masuk bola pada minit ke-81 bagi mengesahkan kemenangan 2-0 buat Belgium.

Status selaku juara kumpulan B menyaksikan Belgium bakal menanti salah satu pasukan yang berada di kedudukan ketiga di pusingan 16.