England gagal menggunakan kelebihan beraksi di Stadium Wembley apabila terikat tanpa jaringan bertemu seteru hebat, Scotland pada aksi kedua saingan Euro 2020 yang berlangsung sebentar tadi.

Pertembungan ke-116 melibatkan kedua-dua negara tersebut menyaksikan Scotland memulakan perlawanan dengan baik apabila dilihat lebih mengawal permainan pada 10 minit awal.

England kemudiannya bangkit memperkemaskan aksi dengan melancarkan dua serangan berbahaya ke arah gawang Scotland yang dikawal penjaga gol berpengalaman, David Marshall.

John Stones hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-11 apabila beliau yang tidak dikawal pertahanan Scotland ketika situasi sepakan penjuru yang diambil Mason Mount.

Bagaimanapun, kem England kecewa selepas bola hanya singgah di tiang gol ketika Marshall sudah pun tertewas.

Dua minit kemudian, Mount pula mendapat peluang terbaik berikutan larian dari belakang dilakukannya berjaya mendapatkan hantaran lintang daripada Raheem Sterling, tetapi tolakan pemain tengah Chelsea itu tersasar ke sebelah kanan pintu gol lawan.

Skuad kendalian Steve Clarke yang sesekali melakukan serangan menguji gawang England pada minit ke-30. Namun, percubaan voli menarik diledakkan Stephen O’Donnell ditepis dengan baik Jordan Pickford.

Bermula aksi separuh masa kedua, Mount melepaskan rembatan dari luar kawasan penalti pada minit ke-48 tetapi ia masih belum berupaya untuk membolosi Marshall yang lebih bersedia untuk menafikan percubaan tersebut.

Penyokong Scotland juga hampir melonjak kegembiraan ketika perlawanan memasuki minit ke-62 apabila percubaan Lyndon Dykes hanya mampu dipandang Pickford, namun Reece James pula menjadi penghalang dalam menyelamatkan keadaan tersebut.

Selepas itu, tiada serangan menarik yang dapat dilancarkan kedua-dua pasukan untuk sekadar berpuas hati dengan satu mata.

Keputusan tanpa jaringan yang dicatatkan menyaksikan masih tiada negara yang dapat mengesahkan tempat ke pusingan 16 selepas Republik Czech dan Croatia juga mencatatkan keputusan seri pada perlawanan terdahulu.

Republik Czech kini di tangga teratas kumpulan D dengan empat mata, hanya berkelebihan perbezaan jaringan berbanding England di tempat kedua manakala Croatia di kedudukan ketiga dan Scotland keempat.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Euro 2020:

Euro 2020: Republik Czech Terlepas Peluang Sahkan Kemaraan, Terikat 1-1 Bertemu Croatia

Euro 2020: Jaringan Penalti Emil Forsberg Hidupkan Peluang Sweden

Euro 2020: Belanda Teruskan Rentak Positif, Melangkah Ke Pusingan 16