Slot terakhir peringkat separuh akhir Kejuaraan Euro 2020 menjadi milik England selepas skuad kendalian Gareth Southgate itu dengan bergaya menundukkan Ukraine 4-0 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stadio Olimpico, Rome sebentar tadi.

Kemaraan tersebut menyaksikan England mengulangi pencapaian edisi 1996 dimana skuad Three Lions itu turut melangkah ke peringkat yang sama tetapi ditewaskan Jerman menerusi penentuan sepakan penalti.

England yang kembali beraksi dengan empat pemain pertahanan membariskan Jadon Sancho dan Mason Mount di kesebelasan utama manakala Bukayo Saka dan Kieran Trippier terpaksa diketepikan.

Ketua pasukan, Harry Kane tidak menunggu lama untuk memberikan kelebihan buat England apabila beliau berjaya meledakkan jaringan pada minit keempat perlawanan.

Berpunca daripada hantaran lolos menarik daripada Raheem Sterling, Kane yang melepasi perangkap ofsaid dengan tenang menolak masuk bola menggunakan hujung kaki bagi meletakkan England di hadapan.

Salah faham Kyle Walker dan John Stones di kawasan sendiri hampir memakan diri pada minit ke-17 dimana memberikan ruang buat Roman Yaremchuk meluru pantas ke kawasan penalti England untuk melakukan percubaan.

Namun, Jordan Pickford yang masih lagi belum dibolosi sebarang gol selepas mengharungi lima perlawanan Euro 2020 cemerlang menepis keluar rembatan penyerang tersebut.

Declan Rice hampir melebarkan kedudukan buat England tetapi rembatan padunya dari luar kawasan penalti dihalang penjaga gol, Georgiy Bushchan manakala percubaan susulan Mount pula dihalang pertahanan bagi menyelamatkan keadaan pada minit ke-33.

Bagaikan mendapat tonik yang cukup berguna di bilik persalinan, England tampil begitu garang pada separuh masa kedua dengan menambah tiga lagi jaringan.

Gol kedua terhasil pada minit ke-46 apaguibila sepakan percuma menarik yang diambil Luke Shaw berjaya ditanduk masuk pemain pertahanan, Harry Maguire.

Kedudukan terus berubah berselang empat minit kemudian selepas Shaw sekali lagi membuktikan keupayaannya dengan melakukan hantaran cantik bagi membolehkan Kane menanduk masuk bola melepasi celah kaki Bushchan untuk gol ketiga.

Kane hampir meledakkan hatrik ketika perlawanan memasuki minit ke-62, namun percubaan volinya menerusi kaki kiri dari luar kawasan penalti dinafikan Bushchan.

Seminit kemudian, kehampaan Kane itu ditebus Jordan Henderson yang melonjak tinggi bagi menanduk masuk bola susulan hantaran sepakan penjuru diambil Mason Mount untuk mengukuhkan lagi cengkaman England.

Lebih manis buat Henderson, gol keempat England itu merupakan jaringan pertama buatnya di pentas antarabangsa.

Ukraine yang sesekali mengancam kubu lawan mendapat peluang terbaik untuk merapatkan jurang tetapi rembatan jarak jauh diledakkan Evgeny Makarenko pada minit ke-74 ditepis keluar Pickford.

Kemenangan besar itu menyaksikan England bakal membuat perhitungan dengan Denmark di peringkat separuh akhir. Perlawanan yang berlangsung pada 8 Julai itu akan diadakan di Stadium Wembley.