Slot terakhir peringkat suku akhir Kejuaraan Euro 2020 menjadi milik Ukraine selepas berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Sweden pada perlawanan yang berlangsung di Hampden Park, Glasgow sebentar tadi.

Lebih menarik, kemenangan tersebut menjelma pada lewat aksi masa tambahan menerusi jaringan Artem Dovbyk dan sekali gus turut mengesahkan pertemuan Ukraine menentang England yang dijadualkan berlangsung pada 3 Julai nanti di Rome.

Aksi menarik dipersembahkan sebaik wisel permulaan ditiup pengadil dari Itali, Daniele Orsato apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk keluar sebagai pemenang.

Roman Yaremchuk terlebih dahulu memberikan ancaman buat Sweden selepas beliau melakukan rembatan dalam kawasan penalti setelah menerima hantaran Andriy Yarmolenko.

Percubaan itu bagaimanapun berjaya dinafikan penjaga gol, Robin Olsen yang lebih bersedia untuk menyelamatkan gawangnya dibolosi dengan lebih awal.

Lapan minit kemudian, giliran Alexander Isak pula mencuba nasib dengan melakukan percubaan percubaan dalam kawasan penalti tetapi percubaan ‘placing’ penyerang muda itu sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Ukraine.

Aleksandr Zinchenko menceriakan kem Ukraine pada minit ke-27 apabila rembatan voli menarik dalam kawasan penalti berjaya menerjah gawang lawan untuk meletakkan skuad kendalian Andriy Shevchenko itu di hadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Sweden tampil memperkemaskan aksi dan hampir kembali mengikat kedudukan pada minit ke-30 menerusi sepakan percuma daripada Sebastian Larsson.

Namun, rembatan melencong yang terus menuju gawang Ukraine itu memaksa penjaga gol, Georgiy Bushchan melayangkan badannya untuk menepis keluar percubaan tersebut.

Memasuki minit ke-43, Emil Forsberg terus membuktikan keupayaan hebatnya selepas rembatan padu diledakan dari luar kawasan penalti membias terkena kaki pemain pertahanan, Ilya Zabarnyi lalu mengelirukan Bushchan untuk kedudukan kembali terikat.

Aksi di babak kedua bertambah menarik dengan tempo lebih pantas ditampilkan serta tiga percubaan menarik terkena tiang dan palang gol.

Ia bermula dengan hantaran baik daripada Yarmolenko pada minit ke-55 yang memberikan ruang buat Sergiy Sydorchuk untuk melakukan percubaan dalam kawasan penalti tetapi rembatannya singgah di tiang gol.

Hanya seminit kemudian, Forsberg turut menerima nasib yang sama apabila percubaannya terkena tiang gol ketika Bushchan sudah pun tertewas.

Forsberg yang sudah meledakkan empat gol dalam kempen Euro 2020 sekali lagi hampa selepas rembatannya dari luar kawasan penalti pula menggegarkan palang gol Ukraine pada minit ke-69.

Kedua-dua pasukan selepas itu masih lagi buntu dalam usaha menghadirkan jaringan kemenangan memaksa perlawanan berlanjutan hingga ke masa tambahan 30 minit.

Sweden terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika perlawanan memasuki minit ke-99 apabila pemain pertahanan, Marcus Danielson diperintahkan keluar padang selepas melakukan terjahan bahaya terhadap Artem Besedin.

Danielson pada mulanya hanya diberikan kad kuning tetapi selepas rujukan Video Assistant Referee (VAR) dibuat, akhirnya Orsato melayangkan kad merah.

Kekurangan seorang pemain nyata memberikan kesukaran buat Sweden dan ia jelas merupakan ruang buat Ukraine untuk mendominasi sebahagian besar aksi di masa tambahan.

Kelebihan itu digunakan sepenuhnya apabila pemain gantian, Artem Dovbyk muncul wira selepas tandukannya pada masa kecederaan masa tambahan setelah menerima umpanan Zinchenko berjaya membolosi gawang Sweden untuk menghadiahkan kemenangan buat Ukraine.

Kemaraan bermakna tersebut merupakan sejarah pertama kali buat Ukraine melayakkan diri ke peringkat suku akhir selepas mencuba pada dua edisi sebelum ini.