Switzerland mempamerkan corak permainan menarik ketika membenam cabaran Turki 3-1 pada aksi terakhir kumpulan A saingan Euro 2020 yang berlangsung sebentar tadi.

Kemenangan itu bagaimanapun masih belum mengesahkan tempat buat Switzerland ke pusingan 16 setelah Wales memiliki kelebihan perbezaan jaringan meskipun kedua-dua pasukan terikat dengan empat mata.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Olimpik Baku itu menyaksikan corak permainan serang menyerang ditampilkan kedua-dua pasukan dalam memburu kemenangan yang diharapkan.

Turki yang tewas pada dua perlawanan awal dilihat lebih mengawal permainan sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil bertugas,  Slavko Vincic dari Slovenia.

Skuad kendalian Senol Gunes itu mengancam kubu Switzerland seawal minit keempat apabila Kaan Ayhan meledakkan rembatan padu dari luar kawasan penalti, tetapi Yann Sommer lebih bersedia untuk menafikan percubaan tersebut.

Dalam keghairahan Turki melancarkan serangan, Haris Seferovic menggembirakan kem Switzerland berselang dua minit kemudian selepas percubaan rendah menerusi kaki kiri dilepaskannya dari luar kawasan penalti berjaya membolosi penjaga gol, Ugurcan Cakir bagi memisahkan kedua-dua pasukan.

Memasuki minit ke-16, Sommer sekali lagi diuji menerusi rembatan jarak jauh apabila beliau cemerlang menepis keluar percubaan voli daripada pemain bek kiri Turki, Mert Muldur.

Memerlukan defisit jaringan besar untuk menjadi pasukan kedua dalam kumpulan A yang layak ke pusingan 16, Switzerland menggandakan jaringan pada minit ke-26 menerusi Xherdan Shaqiri.

Jaringan tersebut berpunca daripada percubaan melencong daripada luar kawasan penalti diledakkan Shaqiri selepas menerima umpanana Steven Zuber tidak mampu diselamatkan Cakir.

Dua minit kemudian, Shaqiri hampir menambah jaringan kedua peribadinya apabila berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan berikutan lorongan cantik daripada Seferovic, bagaimanapun percubaannya ketika hanya berhadapan dengan Cakir diselamatkan penjaga gol berusia 25 tahun itu menggunakan kakinya.

Tertekan dengan dua jaringan tersebut, Turki menerusi Muldur mendapat dua peluang di luar dan dalam kawasan penalti. Namun, Sommer masih kental bertahan bagi menghalang gawangnya daripada dibolosi.

Kecemerlangan Sommer akhirnya terhenti pada minit ke-62 apabila percubaan menarik dari luar kawasan penalti daripada Irfan Kahveci gagal dinafikan penjaga gol tersebut untuk Turki merapatkan jurang gol.

Jaringan itu tidak merentap semangat juang skuad kendalian Vladimir Petkovic itu apabila Shaqiri sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring apabila menyempurnakan peluang susulan hantaran lintang Zuber bagi menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-68.

Lebih menarik untuk diperkatakan mengenai Zuber ialah beliau merupakan arkitek dalam membantu kepada ketiga-tiga jaringan yang dihasilkan oleh Switzerland itu.

Kedudukan 3-1 itu kekal hingga tamat permainan meskipun kedua-dua pasukan cukup berusaha keras untuk menambah jaringan.

Keputusan itu juga menyaksikan Switzerland perlu menunggu keputusan-keputusan lain sebelum dapat mengetahui mampukah mereka menjadi empat pasukan tangga ketiga terbaik untuk turut melangkah ke pusingan seterusnya.