Portugal ditunjukkan jalan keluar daripada persaingan Euro 2020 apabila tunduk 0-1 di tangan Belgium pada aksi pusingan 16 yang berlangsung di Estadio de la Cartuja, Seville sebentar tadi.

Kekecewaan sudah pastinya amat dirasai skuad yang diketuai Cristiano Ronaldo itu selepas juara bertahan tersebut terlepas beberapa peluang terbaik terutamanya pada lewat permainan untuk kembali mengikat kedudukan.

Malah, perlawanan ini juga turut didominasi Portugal dengan penguasaan permainan serta lebih banyak memperolehi percubaan tepat ke arah pintu gol Belgium yang dikawal Thibaut Courtois.

Manakala, Belgium pula hanya memiliki satu percubaan tepat dimana ia merupakan jaringan kemenangan yang dihasilkan oleh Thorgan Hazard pada lewat separuh masa pertama.

Skuad kendalian Roberto Martinez itu juga kelihatan sukar untuk menembusi jentera pertahanan Portugal yang diketuai Pepe dan Ruben Dias.

Ronaldo terlebih dahulu menguji Courtois pada minit ke-25 menerusi sepakan percuma tetapi penjaga gol berusia 29 tahun itu cemerlang menepis keluar percubaan menarik tersebut.

Bagaimanapun, kem pasukan ranking nombor satu dunia itu melonjak kegembiraan pada minit ke-42 apabila rembatan padu Hazard dari luar kawasan penalti gagal diselamatkan penjaga gol, Rui Patricio bagi memberikan kelebihan buat Belgium.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Portugal tampil di babak kedua dengan lebih garang untuk memburu jaringan penyamaan.

Ia jelas terbukti apabila Portugal mendapat dua peluang keemasan dalam tempoh dua minit. Namun, Courtois terus kental bertahan bagi menafikan tandukan Ruben Dias pada minit ke-82 setelah menerima hantaran sepakan percuma daripada Bruno Fernandes.

Seminit kemudian giliran Raphael Guerreiro pula melakukan percubaan menarik tetapi bola sekadar singgah di tiang gol untuk sekali lagi pintu gol Belgium terselamat daripada ancaman.

Segala usaha Portugal selepas itu masih belum mampu untuk menghadirkan jaringan yang diharapkan sekali gus melayakkan Belgium ke peringkat suku akhir untuk berhadapan dengan Itali pada 2 Julai nanti di Munich.