Belanda menjadi pasukan ketiga melayakkan diri ke pusingan 16 saingan Euro 2020 selepas berjaya menundukkan Austria 2-0 pada aksi kumpulan C yang berlangsung di Johan Cruijff Arena, Amsterdam sebentar tadi.

Kemenangan hasil jaringan Memphis Depay dan Denzel Dumfries itu sudah cukup untuk membawa Belanda mengiringi Itali dan Belgium selepas mengumpul enam mata hasil dua kemenangan berturut-turut yang diraih.

Aksi yang ditampilkan skuad kendalian Frank De Boer itu bagaimanapun tidak seperti yang dipersembahkan ketika kejayaan menundukkan Ukraine 3-2, tempoh hari.

Skuad Oranje membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 menerusi Memphis Depay selepas tonggak serangan itu dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti.

Sepakan penalti itu dihadiahkan pengadil bertugas, Orel Grinfeld selepas ketua pasukan Austria, David Alaba mengasari Denzel Dumfries dalam kawasan penalti.

Kesilapan Alaba yang gagal mengawal bola dengan baik di kawasan sendiri hampir dihukum Belanda pada minit ke-23 tetapi rembatan luar kawasan penalti daripada Depay sekadar singgah di tepi jaring gol pasukan pelawat.

Depay harus menyalahkan dirinya sendiri apabila gagal menyudahkan peluang keemasan ketika keadaan kelam-kabut dalam kawasan penalti setelah menerima hantaran daripada Wout Weghorst pada minit ke-40.

Pemain pertahanan, Stefan de Vrij hampir mengubah kedudukan ketika perlawanan memasuki minit ke-61 apabila tandukannya susulan situasi sepakan penjuru ditepis penjaga gol, Daniel Bachmann manakala percubaan susulan Mathijs De Ligt dikeluarkan pertahanan dari kawasan berbahaya.

Jaringan kedua yang diharapkan kem Belanda menjelma jua berselang enam minit kemudian apabila Dumfries dengan mudah menolak masuk bola umpanan Donyell Malen selepas pemain gantian itu meluru pantas menerima umpanan menarik daripada Depay dari tengah padang.

Ia merupakan jaringan kedua buat Dumfries selepas beliau muncul wira dalam memberikan jaringan kemenangan buat Belanda ketika bertemu Ukraine.

Austria cuba bangkit dengan memberikan sedikit tekanan tetapi ia tidak membuahkan hasil untuk kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Euro 2020:

Euro 2020: Rusia Kembali ‘Bernyawa’, Berjaya Tumpaskan Finland 1-0

Euro 2020: Jaringan Sendiri Hummels Ceriakan Perancis Di Munich

Euro 2020: Rekod Peribadi Ronaldo Serikan Kejayaan Portugal Atasi Hungary