Belanda mengekalkan momentum cemerlang di peringkat kumpulan saingan Euro 2020 setelah mudah menewaskan Macedonia Utara 3-0 pada aksi ketiga yang berlangsung di Johan Cruijff Arena, sebentar tadi.

Meskipun skuad bimbingannya sudah mengesahkan tempat ke pusingan 16 pada minggu lalu, Frank De Boer masih mengekalkan sebahagian besar pemain utama ketika menghadapi cabaran Macedonia Utara ini.

Belanda hampir dikejutkan seawal minit kesembilan apabila Ivan Trickovski berjaya melepasi kawalan pertahanan lalu membolosi gawang yang dikawal Maarten Sketeleburg,

Namun nasib nyata menyebelahi skuad Oranje apabila jaringan tersebut dibatalkan selepas pemain berusia 34 tahun itu terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Memasuki minit ke-22, giliran Aleksandar Trajkovski pula memberikan ancaman buat Sketelenburg apabila beliau meledakkan rembatan dari luar kawasan penalti yang terkena tiang gol.

Enggan terus ditekan pasukan lawan, Belanda melancarkan satu serangan balas pantas menarik berselang dua minit kemudian dimana ia membuahkan hasil selepas Memphis Depay bijak menolak masuk bola hasil hantaran lintang daripada Donyell Malen.

Malen terus memainkan peranan penting dalam mencorakkan serangan berbahaya buat Belanda setelah beliau melakukan hantaran lintang kemas buat Denzel Dumfries pada minit ke-30.

Tetapi, percubaan dilakukan Dumfries dalam kawasan penalti berjaya dinafikan dengan cemerlang penjaga gol Macedonia Utara, Stole Dimitrievski.

Tonggak pertahanan, Mathijs De Ligt hampir meletakkan nama selaku penjaring pada minit ke-50 selepas tandukannya susulan sepakan penjuru Steven Berghuis hanya mampu dipandang Dimitrievski, tetapi Trickovski mengeluarkan bola di atas garisan.

Kekecewaan itu terubat seminit kemudian apabila Georginio Wijnaldum menjadikan kedudukan 2-0 selepas ketua pasukan Belanda itu berjaya menolak bola hasil hantaran ‘sesedap rasa’ diberikan Depay dalam kawasan penalti.

Tidak cukup dengan jaringan tersebut, Wijnaldum menambah gol kedua peribadinya pada perlawanan ini selepas beliau mudah menolak masuk bola susulan percubaan awal Depay yang ditepis Dimitrievski.

Pemain yang baharu sahaja menyertai Paris Saint-Germain itu hampir sahaja meledakkan hatrik berselang tiga minit kemudian tetapi tolakannya dalam kawasan penalti berpunca daripada gerakan lincah Patrick Van Aanholt sedikit melewati palang gol.

Macedonia Utara yang sesekali melancarkan serangan ke kubu Belanda sekali lagi dihampakan apabila gol daripada Darko Churlinov dibatalkan selepas beliau berada dalam keadaan ofsaid pada minit ke-72.

Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan untuk mengesahkan Belanda selaku juara kumpulan C dengan mengumpul sembilan mata manakala Macedonia Utara mendapat pengalaman yang cukup berharga meskipun pulang tanpa sebarang mata.