England terpaksa mengharungi aksi masa tambahan sebelum berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Kejuaraan Euro 2020 selepas menundukkan Denmark 2-1 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Wembley, sebentar tadi.

Kemenangan sukar yang dicatatkan itu juga sekali gus mengesahkan aksi final England berdepan Itali di gelanggang sama pada 12 Julai nanti.

Seperti dijangka, England berdepan kesukaran untuk meraih kemenangan pada perlawanan ini meskipun mendapat sokongan padu puluhan ribu penyokong yang membanjiri stadium.

Ia jelas terbukti apabila skuad kendalian Kasper Hjulmand itu berjaya mengejutkan pasukan tuan rumah pada minit ke-30 menerusi jaringan daripada Mikkel Damsgaard.

Gol tersebut berpunca daripada sepakan percuma cantik diledakkan pemain muda itu yang gagal dinafikan penjaga gol England, Jordan Pickford.

Selain daripada menjadi gol pertama yang berjaya dihasilkan secara terus menerusi sepakan percuma, jaringan menarik daripada Damsgaard itu juga telah meleburkan rekod tanpa bolos England dalam kempen Euro 2020.

Tersentak dengan gol tersebut, England memperkemaskan aksi dengan menampilkan serangan berbahaya pada minit ke-38 tetapi percubaan jarak dekat Raheem Sterling dalam kawasan penalti setelah menerima hantaran lintang Harry Kane dinafikan penjaga gol, Kasper Schmeichel.

Kehampaan itu ditebus seminit kemudian apabila ketua pasukan Denmark, Simon Kjaer tertampan bola ke gawang sendiri dalam usahanya untuk mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya susulan hantaran lintang dilakukan Bukayo Saka untuk kedudukan kembali terikat.

Memasuki babak kedua, anak buah Gareth Southgate terus menguasai permainan dan hampir berada di hadapan pada minit ke-55 selepas tandukan Harry Maguire susulan hantaran kemas daripada Mason Mount berjaya ditepis keluar Schmeichel.

Usaha skuad The Three Lions yang memberikan tekanan hebat ke kubu Denmark selepas itu masih belum mampu menjelmakan jaringan kemenangan yang diharapkan untuk perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.

Ketika Denmark seperti kehilangan idea untuk melakukan asakan dan lebih banyak bertahan, England pula terus memaksa Schmeichel dan jentera pertahanan mereka bekerja keras.

Hantaran cantik Kyle Walker dari sebelah kiri pintu gol Denmark memberikan ruang buat Kane untuk meledakkan rembatan tetapi Schmeichel lebih tangkas untuk menghalang percubaan pada minit ke-94 itu.

England sekali lagi hampa berselang empat minit kemudian selepas Schmeichel tidak berdepan masalah untuk menafikan percubaan daripada luar kawasan penalti diledakkan Jack Grealish.

Memasuki minit ke-104, bergegak gempita Stadium Wembley apabila percubaan susulan pantas dilakukan Kane setelah sepakan penaltinya terlebih dahulu ditepis Schmeichel berjaya meletakkan England di hadapan.

Kelebihan jaringan itu digunakan sepenuhnya Kane dan rakan sepasukan bagi mengekalkan kedudukan tersebut sekali gus menghadiahkan aksi final pertama buat England di pentas Euro dan lebih tepat lagi pertama kali sejak tahun 1966 dalam kejuaraan utama.