Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mengumumkan pihak kelab melantik Esteban Solari sebagai ketua jurulatih baharu pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu wawancara baru-baru ini, TMJ menegaskan Solari dilantik sebagai ketua jurulatih manakala pengendali sebelum ini, Hector Bidoglio dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Teknikal bagi menggantikan Alistair Edwards yang bakal menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab.

“Kami akan ada ketua jurulatih baharu dimana saya peribadi mengagumi jurulatih ini kerana sudah kenal beliau sejak beberapa tahun. Beliau kini berada dalam skuad B-23 Tahun Argentina bersama Javier Mascherano.

“Beliau juga menerima tawaran dari beberapa kelab seperti River Plate dan juga skuad remaja Argentina. Saya berjaya meyakinkan beliau untuk bersama kami bagi meneruskan projek kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim.

“Jurulatih itu ialah Esteban Solari, adik kepada Santiago Solari yang berada di Real Madrid. Beliau akan mengendalikan pasukan utama,” kata TMJ.

Tunku Ismail kemudiannya memberikan faktor utama mengapa pihak kelab mengambil keputusan untuk melantik Solari sebagai ketua jurulatih.

“Kami perlukan jurulatih yang memiliki karisma, muda dan dihormati. Dia bermain di Eropah dan Amerika Selatan dan beliau memiliki pencapaian. Apa yang saya kagum dengan dia ialah dari segi pengurusan pemain dan mahukan pemain untuk menampilkan prestasi terbaik,” tambahnya.

Menurut TMJ, JDT bakal membawa masuk seorang penyerang dari Brazil dan pemain itu sudah 80 peratus bersetuju untuk menyertai pasukan musim hadapan.

Selain itu, juara Piala Malaysia 2022 itu bakal menandatangani dua pemain dari Sepanyol yang bakal mengisi posisi pemain tengah menyerang dan pertahanan kiri.

Sebagai tambahan, kelab itu tidak akan menandatangani terlalu ramai pemain tempatan dimana hanya ada seorang sahaja pemain tempatan yang akan menyertai pasukan musim hadapan.