Penjago gol pasukan Mesir, Essam El-Hadary memecahkan rekod pemain dari Colombia, Faryd Mondragón sebagai pemain paling tua beraksi dalam pusingan akhir Piala Dunia.

Essam El-Hadary tidak diturunkan dalam 2 perlawanan pertama Mesir di peringkat kumpulan bagaimanapun telah diberi peluang ketika bertemu Arab Saudi oleh ketua jurulatih Héctor Cúper.

Selain muncul sebagai pemain paling tua, ada beberapa lagi fakta mengenai penjaga gol Mesir ini yang menarik untuk diketahui sebagai peminat bola sepak.

Pemain Paling Tua Beraksi Di Pentas Piala Dunia

Umur Essam El-Hadary jika dibandingkan dengan pemegang rekod terdahulu mempunyai perbezaan sebanyak 2 tahun 198 hari.

 

Penjaga Gol Ke 4 Menyelamatkan Penalti Dalam Penampilan Pertama Sejak 1966

Beliau juga berjaya mencatatkan satu lagi rekod untuk penjaga gol, apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti pasukan Arab Saudi pada minit ke 41 oleh Fahad Al-Muwallad.

Rekod ini membolehkan beliau menyertai 3 lagi penjaga gol lain yang menyelamatkan sepakan penalti pada penampilan pertama di pentas Piala Dunia.

  • Essam El-Hadary: bertemu Arab Saudi, 2018
  • Halldorsson: bertemu Argentina, 2018
  • Meola: bertemu Czechoslovakia, 1990
  • Quiroga: bertemu Scotland, 1978

 

Lebih Tua Dari 3 Ketua Jurulatih Di Piala Dunia 2018

Apabila nama beliau disenaraikan dalam kesebelasan utama, Essam El-Hadary pada umur 45 tahun 161 hari sebenarnya lebih tua dari 3 ketua jurulatih pasukan yang bertanding dalam Piala Dunia Russia 2018.

  • 179 hari lebih tua dari Roberto Martinez, ketua jurulatih Belgium.
  • 413 hari lebih tua dari Mladen Krstajic, ketua jurulatih Serbia.
  • 1164 hari lebih tua dari Aliou Cisse, ketua jurulatih Senegal.

Essam El-Hadary dalam karier bersama pasukan kebangsaan Mesir, pernah menjuarai Piala Negara-Negara Afrika sebanyak 4 kali, dipilih sebagai penjaga gol terbaik dalam kejohanan yang sama sebanyak 3 edisi – 2006, 2008 dan 2010.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group