Chelsea kelihatan terus bernafsu untuk berbelanja besar apabila dilaporkan cuba mendapatkan khidmat dua pemain muda berkelas dunia, Erling Haaland dan Achraf Hakimi bagi menghadapi kempen 2021/22.

Masih segar dengan kejayaan menjuarai saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21 tempoh hari, Chelsea kelihatan serius untuk menambah kekuatan pasukan dengan membawa masuk bintang Borussia Dortmund dan Inter Milan itu.

Memetik sumber laporan Goal, Chelsea dikatakan sudah menghubungi ejen kedua-dua pemain terbabit dimana sekiranya usaha tersebut berjaya, ia akan menelan belanja lebih dari £200 juta.

Namun, ia pasti bukan tugas mudah buat Chelsea untuk mendapatkan Haaland kerana beliau merupakan tonggak utama buat Dortmund pada musim ini setelah meledakkan 41 gol dalam semua pertandingan musim ini.

Nilai Haaland yang difahamkan bakal mencecah lebih £100 juta itu mungkin menjadi masalah buat Chelsea untuk merealisasikan impian tersebut.

Dortmund juga sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak akan menjual pemain bintang tersebut pada tahun ini.

Manakala, lain pula ceritanya mengenai Hakimi kerana masa depan pemain yang bernilai £68.8 juta itu masih lagi belum dapat dipastikan dan turut dikatakan menarik minat gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).

Ejen beliau, Alejandro Camano bagaimana menafikan ada perbincangan dilakukan bersama PSG tetapi memberikan gambaran bahawa sukar buatnya untuk membicarakan adakah pemain kelahiran Madrid itu mampu terus kekal bersama Inter Milan.

Hal ini pasti ada kaitan dengan langkah penjimatan yang cuba dipraktikkan pengurusan tertinggi kelab tersebut untuk menjual beberapa pemain utama yang membantu Nerrazzuri menjuarai Serie A musim ini.

Inter dikatakan lebih rela kehilangan Hakimi berbanding Romelu Lukaku yang mana The Blues juga sebelum ini mengintai penyerang berbisa tersebut.

Mungkin ini peluang terbaik buat Chelsea untuk merekrut Achraf Hakimi yang mampu menjadi tambahan hebat buat kelab dari London itu.

Baca artikel lain dari kami tentang Erling Haaland:

Dortmund Enggan Jual Haaland Tahun Ini

Selepas Madrid Dan Barca, Raiola Dan Ayah Haaland Jumpa 4 Kelab EPL

Real Madrid Sedia ‘Pecah Tabung’ Dapatkan Haaland Dan Mbappe

Sumber