Pengurus Manchester United, Erik ten Hag sedang memberi pertimbangan serius untuk sisihkan Harry Maguire untuk perlawanan penting Isnin ini menentang Liverpool.

Follow VOCKET di Telegram untuk isu isu viral terkini

Kapten Manchester United, Harry Maguire memulakan perlawanan sebagai kesebelasan utama dalam kedua-dua kekalahan United kepada Brighton dan Brentford pada permulaan musim Liga Perdana Inggeris – bersama rakan bek tengah baharu Lisandro Martinez.

Tetapi Ten Hag kini mempertimbangkan untuk sisihkan Harry Maguire yang merupakan pemain antarabangsa England itu untuk perlawanan minggu depan di Old Trafford, menurut Manchester Evening News.

Ini bermaksud, status kapten pada Maguire tidak menjamin tempatnya sebagai pemain tetap kesebelasan utama di Old Trafford.

Ten Hag kemungkinan akan memulakan Raphael Varane bersama Martinez untuk aksi menentang musuh tradisi mereka, Liverpool.

Varane, bekas pemain pertahanan Real Madrid, kini cergas sepenuhnya selepas pulih daripada kecederaan yang dialami pada pra-musim.

Hanya beberapa minggu yang lalu, Ten Hag memberi sokongan kepada Maguire dengan mengesahkan pemain pertahanan itu akan mengekalkan lilitan kapten kelab untuk musim baharu walaupun terdapat desakan supaya dia dilucutkan daripada lilitan lengannya.

Harry Maguire

Ten Hag malah dilaporkan menjadikan Maguire sebagai teras penting untuk pertahanannya. Di mana Ten Hag mencari gandingan terbaik untuk Maguire yang menurutnya, seorang pemain yang banyak berjasa dan mencapai kejayaan di Manchester United.

Walaupun Manchester United kemudian menandatangani Lisandro Martinez, Ten Hag terus menegaskan bahawa pemain itu bukan pengganti kepada Maguire. Tetapi dia hadir untuk menambahkan lagi kekuatan pasukan mereka.

“Kami membawanya bukan untuk menguatkan skuad semata mata, tetapi pasukan,” kata Ten Hag mengenai Martinez.

“Adakah Maguire pilihan pertama? Saya rasa dia [adalah pilihan utama].”

“Dia telah membuktikannya pada masa lalu tetapi dia juga perlu membuktikannya pada masa sekarang dan pada masa akan datang. Dia telah bermain berapa kali? Enam puluh kali untuk England? Dia menikmati kerjaya yang sangat mengagumkan dan saya mengharapkan banyak daripadanya .”

“Tetapi terdapat juga persaingan dalaman dan itulah yang diperlukan oleh kelab seperti Man United.”

Kedua-dua pasukan, Manchester United dan Liverpool terdesak untuk meraih kemenangan pertama mereka pada musim baharu pada hari Isnin, dengan pasukan Jurgen Klopp terikat dengan dua keputusan seri yang mengecewakan menentang Fulham dan Crystal Palace.

Menurut MEN, pemain United merasakan taktik semasa Ten Hag tidak sesuai dengan set kemahiran mereka dan lebih suka pendekatan yang lebih pragmatik menentang Liverpool minggu depan.

Musim lalu, The Reds membelasah United 5-0 di Old Trafford sebelum menang 4-0 ke atas Red Devils di Anfield pada akhir kempen.