Crystal Palace telah mengejutkan pasukan tuan rumah di hadapan Ed Woodward dan Sir Alex Ferguson yang turut hadir di dalam stadium.

Donny van de Beek menjaringkan gol di dalam debut beliau. Namun cerita itu digerhanakan oleh kekalahan United di tangan Palace.

Ole Gunnar Solskjaer tidak menurunkan beberapa pemain utamanya di kesebelasan utama. Martial menjadi no.9 dengan Mason Greenwood diletakkan di bangku simpanan.

Manchester United dikejutkan oleh jaringan pembukaan Andros Townsend pada minit ke-7. Di mana beliau memanfaatkan hantaran cantik daripada Jeffrey Schlupp.

Ketinggalan satu gol, Manchester United cuba menambah tekanan ke atas pasukan lawan. Tetapi mereka buntu berdepan dengan pertahanan kental Crystal Palace.

Palace malah mendapat peluang untuk menambah gol namun Ayew agak tamak dalam situasi 3 vs 2 di depan gol United.

Perlawanan separuh masa pertama berakhir dengan pasukan pelawat berkelebihan 1 gol.

Masuk separuh masa kedua, Solskjaer tidak berlengah untuk terus memasukkan Mason Greenwood dan mengeluarkan Daniel James.

Kisah United tetap sama. Mereka memberikan tekanan namun hilang kreativiti dan ketajaman di depan gol.

Palace sebaliknya mendapat penalti selepas VAR mengesahkan Lindelof tertampan bola dengan tangannya.

Namun, penalti Jordan Ayew ditepis oleh De Gea.

Kegembiraan De Gea tidak lama, ini apabila VAR mendapati De Gea bergerak keluar dari garisannya terlebih dahulu.

Penalti semula diberikan dan kali ini Wilfried Zaha mengambil sepakan penalti tersebut.

Zaha dengan yakin melakukan rembatan padu menewaskan De Gea.

United memberikan debut kepada Donny Van De Beek yang mereka baru beli dari Ajax.

Donny van de Beek berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-80 menerusi satu penyudah tenang di dalam kotak penalti. Ini adalah gol sulungnya dengan The Red Devils.

Tetapi usaha United mahu mendapatkan sekurang kurangnya satu mata lebur.

Ini apabila bekas pemain mereka, Wilfried Zaha berjaya menjaringkan satu lagi gol ke gawang Manchester United pada minit ke-85 minit.

Tiada tambahan gol dicatatkan selepas itu. Palace berjaya membawa pulang 3 mata berharga dari Old Trafford.

Nampaknya bandar Manchester menjadi destinasi yang digemari Palace dalam 5 kunjungan terakhir mereka.

Baca juga perkembangan lain

EPL: Everton Bantai WBA – James Cemerlang, Calvert Lewin Hatrik

Aubameyang Sedar Arsenal Setaraf Barcelona Dan Inter, Kata Arteta

RASMI: Liverpool Muktamadkan Perpindahan Thiago Alcantara Dan Diogo Jota