Watford melayan kunjungan Man United di Vicarage Road. United dalam usaha untuk memperbaiki prestasi mereka selepas kekalahan sebelum rehat antarabangsa.

Watford bermula sangat baik, mereka mengenakan tekanan awal ke gawang Man United. Sehinggakan Scott McTominay terpaksa membentes Joshua King di dalam kotak penalti.

Ismaila Sarr mengambil sepakan tersebut pada minit ke-8. Percubaannya ditepis oleh De Gea – Kiko Femenia kemudian menyambar bola masuk.

Tetapi VAR mendapati Femenia menceroboh kotak penalti sebelum sepakan dibuat.

Pengadil mengarahkan penalti diambil semula. Ismaila Sarr melakukan satu lagi percubaan yang teruk ke arah yang sama dan diselamatkan De Gea sekali lagi. Kali ini bola berjaya dikeluarkan oleh United.

Ismaila Sarr berpeluang untuk mencipta peluang gol dalam situasi serangan balas. Malang sekali hantarannya terus kepada Maguire.

Pada minit ke-21, Watford mencipta satu lagi peluang gol, di mana Joshua King menerima hantaran dalam kotak penalti, mujur ada pemain United yang melakukan hadangan.

Namun pada minit ke-28, Joshua King akhirnya meletakkan Watford di hadapan selepas menerima hantaran rendah daripada Dennis yang merampas bola yang dikeluarkan Wan Bissaka.

Bekas pemain Man United itu kini sudah menjaringkan 5 gol berdepan dengan Man United.

3 minit selepas itu, Marcus Rashford melakukan satu voli cantik – berpunca daripada hantaran Bruno Fernandes. Namun ianya diselamatkan oleh Ben Foster dengan satu save berkelas dunia.

Pada minit ke-40, King melakukan ancaman sekali lagi menerusi free header. Dan ianya ditepis De Gea yang siap siaga. Sissoko melakukan separa voli yang tersasar walaupun bahaya.

Sebelum rehat Ismaila Sarr menebus kegagalan penaltinya dengan merembat deras bola menewaskan De Gea. Bola tersebut menyilang dengan laju sekali. Ianya berpunca daripada kegagalan Matic, Shaw dan Rashford bertahan dengan lebih baik di sebelah kiri.

Pada separuh masa kedua, Ole Gunnar Solskjaer memasukkan Donny Van De Beek dan Anthony Martial, menggantikan Rashford dan McTominay.

Hanya 5 minit di atas padang, Van De Beek terus memberikan gol untuk United. Kredit kepada Ronaldo yang berjaya mengapungkan badannya beberapa saat ketika menerima hantaran lintang, dan kemudian melorongkan kepada Van De Beek yang menyumbat masuh dari jarak dekat.

Bruno Fernandes dan Ronaldo masing masing memiliki peluang gol mereka. Namun gagal menyempurnakannya.

Pada minit ke-67, Nemanja Matic cuba menjaringkan gol dari sudut sukar. Sekali lagi ianya tersasar.

Pada minit ke-69, Harry Maguire dilayangkan kad kuning kedua, membawa kepada kad merah. Ini selepas dia gagal mengawal bola dengan baik dan ditekan oleh lawan. Maguire terus membentes kaki Cleverley.

Jadon Sancho melakukan hantaran cantik dan ditanduk oleh Ronaldo. Malangnya tandukan deras itu agak tinggi.

Pada minit ke-79, Ronaldo melakukan gelecekan cantik dan menghantar bola kepada Fernandes. Namun rakan senegaranya itu merembat tinggi.

Pada masa kecederaan, Joao Pedro menjaringkan gol ketiga untuk Watford hanya beberapa detik selepas De Gea melakukan save luar biasa.

Ketika perlawanan seolah olah akan berakhir 3-1, Dennis memastikan Watford mencipta keputusan bersejarah menang 4-1 ke atas United. Sekali lagi pertahanan United terlalu mudah dilepasi oleh pemain lawan secara duel.

Tamat perlawanan, Watford 4 Man United 1

Adakah Ole akan terus selamat?