Manchester United hampir sahaja dikejutkan Everton dalam aksi yang berlangsung di Old Trafford. Walaupun menguasai perlawanan namun Man united memiliki peluang gol yang hampir seimbang dengan Everton.

Skuad Ole Gunnar Solskjaer turun sekali lagi ke Old Trafford selepas minggu Liga Juara Juara Eropah yang mengujakan dengan aksi keperwiraan Ronaldo pada masa kecederaan.

Namun dalam aksi kali ini Ronaldo diletakkan di bangku simpanan.

Walaupun Martial menjaringkan gol sebelum rehat, namun secara keseluruhannya, tidak begitu banyak cerita yang boleh dikongsi untuk separuh masa pertama, selain darioada aksi dominan Man United dari segi penguasaan bola namun tidak cukup tajam di zon serangan.

United memiliki peluang pada minit ke-21, Cavani menanduk tepat hantaran Fred, tetapi penjaga gol antarabangsa England, Jordan Pickford berjaya menyelamatkannya.

David De Gea turut dipaksa melakukan penyelamatan yang baik untuk menafikan percubaan Demarai Gray, selepas Bruno Fernandes kehilangan bola.

Pada minit ke-36, Docoure menerima hantaran Townsend, dan kemudna mencemaskan tuan rumah dengan percubaan yang memaksa Wan Bissaka melakukan hadangan.

Dan sebelum wisel rehat separuh masa, Anthony Martial akhirnya menamatkan kemarau gol beliau sejak Februari. Martial merembat kemas hantaran leret Bruno Fernandes.

Bersambung babak kedua, Man United cuba mencari gol kedua mereka. Everton mulai menghidu beberapa peluang serangan balas.

Pada minit ke-61, Ole Gunnar Solskjaer memasukkan Jadon Sancho dan Ronaldo.

Namun 4 minit kemudian, Townsend meraikan gol penyamaan dengan gaya siuuuuu Cristiano Ronaldo di hadapan penyokong United.

Ianya hasil kerjasama kemas di antara Demarai Gray yang melorongkan kepada Docoure. Pemain itu kemudian tenang memancung bola dengan gerakan dan melorongkan kepada Townsend.

Townsend yang sudah menemui penyudahnya, tidak ada masalah menewaskan De Gea.

Man United kemudian melakukan ancaman, di mana Pogba menanduk bola daripada situasi hantaran lintang namun ianya tidak tepat.

Jadon Sancho memiliki peluang gol namun penyudahnya sangat lemah.

Man United kemudian dicemaskan oleh detik kesilapan pemain mereka yang gagal memenangi bola di luar kotak penalti.

Seterusnya Davies melorongkan bola kepada Mina. Namun VAR membatalkan gol itu kerana ofsaid.

Tamat aksi, Man United terpaksa berkongsi mata dengan Everton, tiada kebangkitan untuk menang pada kali ini.