Liga Perdana Inggeris tidak akan dibatalkan. Namun tarikh penggantungan liga akan dilanjutkan lagi.

Sebelum ini sudah dua kali Premier League dilanjutkan penggantungan. Terakhir, Premier League menyatakan liga mereka akan kembali paling awal pada 30 April.

Namun situasi semasa seolah olah tidak mengizinkannya.

Perkara itu diumumkan oleh Premier League selepas mesyuarat menerusi persidangan video semalam.

Premier League menggariskan 6 perkara utama daripada mesyuarat tersebut.

1. Tarikh liga bersambung

EPL tidak akan disambung pada awal Mei seperti yang diwar-warkan sebelum ini iaitu pada awal Mei.

Namun EPL tidak menetapkan tarikh baharu kerana perlu mengambil kira situasi semasa keadaan pandemik Covid-19 di England.

Menurut EPL, liga hanya akan bersambung atas kebenaran kerajaan dan juga nasihat daripada pakar kesihatan.

Premier League menyatakan, mereka akan berusaha untuk menamatkan saingan liga, pertandingan piala domestik yang lain demi menjaga intergriti pertandingan.

2. Pemotongan gaji pemain

EPL menyatakan mereka akan berunding dengan PFA (Kesatuan Pemain) dalam mesyuarat khas yang melibatkan wakil pemain, kelab dan Premier League.

Premier League mahu berunding agar para pemain menerima pemotongan gaji 30% demi untuk menjamin pekerjaan mereka serta mengurangkan bebanan pasukan yang memang dah rugi teruk kerana liga digantung.

3. Solidariti untuk liga bawahan

Selain itu, Premier League juga bertekad untuk membantu pasukan liga bawahan yang terjejas teruk pendapatan mereka ketika ini.

Premier League bersetuju untuk memberikan bayaran pendahuluan £125 juta kepada EFL dan National League.

4. Membantu NHS (Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan)

Selain itu, EPL komited untuk terus menyokong NHS. Di mana lembaga pengarah Premier League sebulat suara mengundi untuk memberikan dana kilat sebanyak £20 juta kepada NHS.

Dana tersebut tersedia untuk kegunaan segera ataupun jangka masa panjang. Ianya untuk membantu NHS, komuniti, dan mereka yang memerlukan pada ketika ini.

5. Komitmen kelab ketika Covid-19

Premier League akan berterusan menyokong kelab mereka ketika covid-19.

Sebelum in kelab kelab di EPL memang sudah banyak membantu komuniti. Dianggarkan kelab EPL membantu sekitar 10,000 komuniti setiap hari.

 

Kelab akan terus komited dalam membekalkan apa sahaja bantuan termasuk sukarelawan bagi membantu NHS.

6. Memberikan kesedaran

Seterusnya, agenda terakhir yang dibawakan oleh Premier League adalah menyeru agar kelab meningkatkan lagi usaha memberikan kesedaran covid-19 kepada umum terutama sekali kepada masyarakat dan komuniti setempat di sekitar kelab mereka.

Akhir sekali, Premier League menzahirkan rasa simpati mereka kepada mereka yang terjejas secara langsung kerana covid-19.

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group