‘Screamer’ daripada Paul Pogba sekali lagi menjulang Man United ke puncak liga. Sebelum ini Pogba melakukan rembatan dari luar kotak penalti ke atas Burnley untuk menjadi gol kemenangan.

Kali ini rembatan misil daripada Pogba berjaya menewaskan Areola untuk melengkapkan misi kebangkitan 3 mata United di Craven Cottage.

Manchester United ketinggalan seawal minit ke-5 menerusi Ademola Lokman yang berjaya melepasi perangkap ofsaid untuk menewaskan David De Gea.

Tersentak dengan jaringan itu skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer meningkatkan tempo serangan dan mencipta beberapa peluang gol.

Hasilnya pada minit ke-21, Edinson Cavani berjaya menyamakan kedudukan menerusi percubaan dari jarak dekat.

Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 1-1. Masuk ke separuh masa kedua, Man United memiliki beberapa percubaan gol yang berjaya diselamatkan dengan cemerlang oleh Areola.

Fulham yang menggunakan pendekatan serangan balas juga berjaya mencipta beberapa ancaman terutama sekali menerusi Ruben Loftus Cheek yang sangat cemerlang.

Cheek menghadirkan beberapa siri ancaman. Malang sekali produk akhir beliau sangat mengecewakan. Salah satu daripada rembatan beliau dari dalam kotak penalti, tersasar tinggi. Manakala satu lagi diselamatkan oleh David De Gea.

Areola menafikan percubaan jarak dekat oleh Edinson Cavani yang menerima bola lambung di dalam kotak penalti.

Ketika perlawanan masuk ke minit ke-65, Paul Pogba mengawal cantik bola di half space. Ketika beliau diberikan peluang dan ruang yang besar dari luar kotak penalti, pemain antarabangsa Perancis itu melencongkan bola dengan kaki kirinya.

Areola yang cemerlang sepanjang malam tidak berdaya langsung untuk menyelamatkan percubaan tersebut.

Fulham melakukan beberapa pertukaran termasuk memasukkan target man, Mitrovic. Namun United kental bertahan. Mitrovic melakukan tandukan yang hampir masuk apabila terbias pada Eric Bailly.

Tamat aksi, Man United menang 2-3 di gelanggang lawan. Mengembalikan mereka ke puncak liga.

United terbukti raja ‘comeback’ musim ini dengan memenangi 7 perlawanan daripada kedudukan ketinggalan. Hanya Newcastle pada 2001/02 dan Man United 2012/13 sahaja yang melakukan lebih banyak dalam satu musim liga.

Baca juga perkembangan lain

Chelsea Mahukan Erling Braut Haaland

EPL: Ndidi, Maddison Berikan Chelsea Kekalahan Keenam

Ibrahimovic: Bagus, Lepas Ni Lawan Kami Gerun Dengan Dua Orang Pula, Saya Dan Mandzukic