Manchester United tewaskan Liverpool ketika melayan kunjungan musuh tradisi mereka itu di Old Trafford.

Erik Ten Hag memutuskan untuk meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan selepas pemain itu bergelut dengan prestasinya dalam perlawanan terdahulu.

Selain Ronaldo, kapten Harry Maguire turut disisihkan daripada kesebelasan utama.

Manchester United memulakan perlawanan dengan sangat cemerlang. Mereka lebih agresif dan bertenaga. Sedangkan Liverpool terlalu pasif pada 15 minit pertama.

Elanga memiliki peluang keemasan pada minit ke-10. Ianya selepas Bruno Fernandes melakukan lorongan kepadanya, malangnya Elanga mempersia siakan peluang keemasan tersebut dengan percubaan terkena tiang.

Man United di hadapan pada minit ke-15, apabila Jadon Sancho diberikan ruang yang sangat besar. Dia sempat melakukan kawalan ekstra dan menewaskan Alisson.

Ini adalah kali ketiga berturut turut Liverpool ketinggalan dalam aksi EPL musim ini.

Pada minit ke-19, Luis Diaz melakukan satu lob yang licik tetapi tak tepat.

Christian Eriksen melakukan sepakan percuma cantik yang memaksa Alisson melakukan penyelamatan dengan hujung jarinya.

Pada minit ke-27, Liverpool mencipta peluang kedua menerusi hantaran Mo Salah, tetapi voli Henderson lemah.

Liverpool kemudian bermain dengan lebih baik. Man United terselamat beberapa kali daripada ancaman Liverpool dengan kecemerlangan Lisandro Martinez dan Varane melakukan hadangan.

Martinez malah menyelamatkan Bruno Fernandes daripada menjaringkan gol sendiri.

Separuh masa pertama berakhir dengan 1-0 memihak Manchester United.

Bermula separuh masa kedua, Liverpool terus menggerakkan serangan mereka.

Manchester United dipaksa bertahan pada awal 5 minit pertama perlawanan. Namun begitu, Liverpool masih gagal mencipta peluang yang benar benar baik.

Malah, Liverpool bolos lagi pada minit ke-53, menerusi gol Marcus Rashford. Di mana pemain antarabangsa England itu menewaskan perangkap ofsaid untuk menewaskan Alisson.

Luis Diaz memiliki peluang terbaik untuk merapatkan jurang gol namun De Gea menghadang percubaan jarak dekat pemain itu.

Pada minit ke-80, De Gea menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi jaringan sendiri oleh Lisandro Martinez. De Gea menepis bola untuk sepakan penjuru.

Daripada sepakan penjuru itulah Liverpool merapatkan jurang gol menerusi Mohamed Salah pada minit ke-81.

Namun Manchester United memastikan 3 mata milik mereka dengan bertahan sebaik mungkin pada babak akhir perlawanan.

Tamat perlawanan, Man United tewaskan Liverpool dengan skor 2- 1.