Manchester City dengan kejamnya telah membelasah sehingga lunyai Leeds United dengan skor 7-0 di Etihad dalam aksi tengah minggu Liga Perdana Inggeris.

Hanya lapan minit selepas sepak mula separuh masa pertama, City telah pun mendahului menerusi jaringan Phil Foden. Rembatannya terbias pada pertahanan Leeds, Stuart Dallas dan masuk.

Lebih istimewa apabila gol itu merupakan gol Liga Perdana Inggeris ke-500 untuk Pep Guardiola sebagai pengurus.

Gol kedua Manchester City hadir pada minit ke-12. Bintang GBP100 juta, Jack Grealish menyempurnakan hantaran daripada bintang Algeria, Riyad Mahrez.

Skuad bimbingan Pep Guardiola itu menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 3-0 apabila Kevin de Bruyne berjaya mencetak gol pada minit ke-32.

Leeds kelihatan sugul dan perlawanan baru sahaja dibunuh oleh Manchester City.

Pada separuh masa kedua, skuad bimbingan Pep Guardiola tidak mengendurkan langsung asakan mereka. Malah lebih bernafsu dengan menambah 4 gol lagi.

Sekali lagi Leeds bocor awal selepas sepak mula. Kali ini hanya selepas empat minit selepas separuh masa kedua bermula, di mana Riyad Mahrez turut tidak mahu ketinggalan untuk meletakkan dirinya sebagai penjaring.

Dengan ketinggalan empat gol, Leeds terus gagal mengawal kerosakan pada pasukan mereka. Di mana, pada minit ke-62, De Bruyne sekali lagi menambah derita kepada skuad bimbingan Marcelo Bielsa.

John Stones menjadikan 6-0 pada minit ke-74. Penjaga gol Leeds, Illan Meslier, sudah melakukan yang terbaik untuk menghalang tandukan Aymeric Laporte. Tetapi bola jatuh ke kaki Stones yang tanpa belas kasihan terus menambah satu lagi gol.

Seorang lagi pemain pertahanan, Nathan Ake turut mencetak gol pada minit ke-78.

City mendapat beberapa peluang lagi untuk menjadikan kedudukan 8-0 namun mereka tidak dapat berbuat demikian.

Apa yang pasti kemenangan 7-0 sangat luar biasa dicatatkan oleh City untuk terus kekal di singgahsana liga.

Manchester City kini 4 mata di atas Liverpool dalam carta liga.

Saksikan rangkuman perlawanan di sini: