Liverpool melayan kunjungan Arsenal di Anfield. Dalam aksi terakhir, Liverpool tewas di tangan West Ham sebelum rehat antarabangsa. Arsenal pula sudah 10 perlawanan tanpa kalah.

Di Anfield, Arsenal ternyata berdepan dengan pasukan yang memberikan ujian asid sebenar kepada mereka.

Liverpool tampil dominan sejak awal perlawanan. Malah satu ketika Liverpool menguasai 86% perlawanan.

Arsenal selesa untuk lebih defensif dan ke bawah, berharap dapat mengejutkan Liverpool menerusi serangan balas mereka.

Aaron Ramsdale bekerja keras sepanjang malam. Antaranya, melakukan penyelamatan berganda menafikan percubaan Jota dan Sadio Mane.

Pada minit ke-35, Kostas Tsimikas bergandingan dengan Sadio Mane di byline. Tsimikas melorongkan hantaran cutback kepada Salah, namun sekali lagi Ramsdale menafikan peluang keemasan Liverpool.

Dua minit kemudian Ramsdale beraksi sekali lagi. Kali ini menafikan rembatan deras Trent Alexander Arnold.

Namun Ramsdale bocor juga akhirnya sebelum rehat. Ini selepas sepakan percuma Trent Alexander Arnold ditanduk kemas oleh Sadio Mane menewaskan Ramsdale. VAR mengesahkan Mane tidak ofsaid.

Separuh masa kedua, Liverpool meneruskan dominasi mereka. Oxlade Chamberlain melakukan percubaan yang diselamatkan Ramsdale.

Arsenal kemudian kelihatan rapuh ketika bermain di belakang. Liverpool melakukan beberapa siri gegenpressing dan memenangi bola.

Jota berjaya menambah gol untuk Liverpool dengan menggelecek White dan Ramsdale pada minit ke-52.

Selepas beberapa kali mencuba melakukan fast break attack, Liverpool akhirnya mendapat gol ketiga. Ianya adalah gandingan trio serangan Liverpool yang sempurna. Jota menanduk kepada Mane yang berlari meluru ke hadapan. Mane kemudian melorongkan kepada Salah yang mudah menjaringkan gol. 3-0 pada minit ke-73.

Klopp memasukkan Takumi Minamino dan Jordan Henderson. Kurang seminit di atas padang, pemain antarabangsa Jepun, Takumi Minamino menjaringkan gol keempat Liverpool.

Tamat perlawanan, Liverpool menang 4-0 ke atas Arsenal. Menamatkan rekod tanpa kalah Arsenal di Anfield.