Liverpool mencipta kemenangan di Elland Road menewaskan Leeds dalam aksi yang intensif ditunjukkan kedua dua pasukan.

Leeds bermula garang dengan menekan Liverpool di garisan tinggi serta menguji Alisson dengan beberapa percubaan bahaya.

Namun Liverpool berjaya mengimbangi tekanan tersebut dan tampil lebih dominan.

Serangan Liverpool, seperti biasa, banyak berpusat pada Mohamed Salah.

Pemain antarabangsa Mesir itu turut meletakkan Liverpool di hadapan, selepas menolak masuk bola hantaran Trent Alexander Arnold.

Menjadikan Mo Salah sebagai pemain kelima terpantas menjaringkan gol ke-100 dalam Liga Perdanan Inggeris.

Mohamed Salah kemudian mencipta peluang terbuka yang ditanduk masuk Thiago Alcantara. Gol dibatalkan kerana ofsaid.

Sadio Mane memiliki peluang terbuka dengan gol ternganga. Malangnya pemain antarabangsa Senegal itu melambungkan bola tinggi.

Separuh masa pertama, Liverpool masuk ke bilik persalinan dengan pendahuluan 1 gol.

Bersambung babak kedua, Liverpool mencipta peluang keemasan sekali lagi untuk Sadio Mane, namun pemain itu terlalu lama untuk membuat keputusan, Salah pula gagal melakukan susulan yang lebih baik dan bola dihadang pertahanan lawan.

Sepakan penjuru diberikan pengadil, dan berpunca dari situlah Liverpool gol kedua. Hantaran Trent Alexander Arnold ditanduk Van Dijk. Dalam keadaan kelam kabut, Fabinho menolak masuk bola — minit ke-51.

9 minit kemudian, satu insiden ngeri berlaku apabila pemain berusia 18 tahun Harvey Elliot di’gunting’ dari belakang oleh Pascal Struijk. Kecederaan teruk itu membuatkan penyiar memutuskan untuk tiada ulang tayang.

Struijk dilayangkan kad merah, dan Harvey Elliot diusung keluar padang.

Marcelo Bielsa kemudiannya memutuskan untuk memberikan debut kepada Daniel James yang baru dibeli dari Manchester United.

Liverpool memiliki beberapa peluang menerusi Sadio Mane, di mana pemain itu terus buntu mencari gol walaupun ada 3 peluang gol.

Selepas mencuba dan mencuba, Sadio Mane akhirnya menembusi gawang Meslier. Hasil satu cut back daripada Thiago Alcantara, pada masa kecederaan. Ianya memerlukan Mane melakukan 10 percubaan ke arah gawang Leeds untuk mendapatkan 1 gol tersebut.

Tamat perlawanan, Liverpool menang 3-0 dari gelanggang lawan. Memastikan mata ke-10 selepas 4 perlawanan.

Manakala Leeds terus bergelut dengan hanya 2 mata setakat ini selepas 4 perlawanan.