Liverpool meneruskan usaha untuk mengejar Manchester City dalam perebutan Liga Perdana Inggeris. Dan anak buah Jurgen Klopp berjaya meraih 3 lagi mata untuk merapatkan jurang mata kepada 3 mata sahaja.

Beberapa minggu lalu, Liverpool 12 mata di belakang Man City.

Jurgen Klopp merehatkan Roberto Firmino dan Diogo Jota kerana kecederaan. Meletakkan Sadio Mane sebagai false number nine. Luis Diaz sekali lagi diturunkan dalam aksi penting ini.

Liverpool bermula dengan sangat baik. Mendominasi perlawanan dan berterusan mencemaskan Leeds.

Namun skuad Bielsa itu bertahan dengan baik. Meslier melakukan beberapa siri saves untuk menafikan gol Liverpool.

Pada minit ke-15, Liverpool dihadiahkan penalti selepas bola terkena tangan Dallas. Dan Mohamed Salah dengan mudah menewaskan Ilan Meslier.

8 minit kemudian, bintang baharu Liverpool, Luis Diaz berjaya melarikan bola dan mencipta situasi 1 lawan 1. Namun Meslier menafikan percubaannya.

Tetapi Liverpool mendapat gol kedua mereka pada minit ke-30. Salah melakukan hantaran tepat kepada Joel Matip yang melakukan percubaan terus menerjah gawang lawan.

Tidak lama selepas itu, Liverpool mendapat satu lagi sepakan penalti. Kali ini kerana Ayling menjatuhkan Sadio Mane.

Salah menuju ke sisi yang sama, cuma kali ini ke penjuru tinggi, dan ,meletakkan Liverpool 3-0 menjelang rehat separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua, Liverpool terus dominan. Pemain gantian, Jordan Henderson menerima hantaran cantik Mohamed Salah dan melorongkannya ke depan gawang Leeds. Sadio Mane tiada masalah menyempurnakannya – untuk menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-80.

Pada minit ke-90, Sadio Mane mendapat gol kedua peribadinya. Kali ini selepas Meslier dan pertahanannya bertembung sesama sendiri untuk menafikan percubaan Divock Origi. Sadio Mane memastikan susulan kemas untuk gol kelima.

Tidak terhenti di situ, Virgil Van Dijk sempat menambah gol keenam Liverpool selepas menyempurnakan sepakan penjuru Andy Robertson pada masa kecederaan.

Tamat perlawanan, Liverpool 6 Leeds 0.