Liverpool turun berdepan dengan Leicester dalam aksi EPL pertengahan minggu.

Selepas tersingkir di tangan Liverpool dalam aksi Piala Carabao sebelum ini, Leicester berjaya membalas dendam dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Memastikan kekalahan kedua skuad The Reds musim ini. Sekaligus menyukarkan mereka dalam persaingan kejuaraan.

Liverpool melakukan 21 percubaan ke arah gawang Leicester dalam perlawanan ini. Namun hanya 4 sahaja yang tepat.

Sementara Leicester pula melakukan hanya 6 percubaan, cuma 1 yang tepat dan ianya adalah gol.

Liverpool mendapat peluang keemasan awal pada minit ke-14 apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti selepas Wilfred Ndidi mengasari Mohamed Salah.

Namun Mohamed Salah gagal menyempurnakannya. Sepakan Salah diselamatkan oleh Kasper Schmeichel. Tindakan susulan Salah juga tidak berjaya menembusi gawang Leicester.

Ini adalah kali kedua Mo Salah gagal menyempurnakan penalti dalam aksi EPL sejak Oktober 2017 ketika berdepan Huddersfield.

Pada minit ke-38, James Maddison hampir meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan. Tetapi rembatannya tidak cukup bagus untuk menguji Alisson.

Separuh masa pertama berakhir dengan skor tanpa jaringan daripada kedua dua pasukan.

Bersambung separuh masa kedua, Liverpool mencipta peluang pada minit ke-55. Malangnya Sadio Mane gagal menyempurnakan peluang terhidang.

Seminit kemudian, Brendan Rodgers memasukkan Ademola Lookman. Hanya 3 minit di atas padang, Lookman memecah kebuntuan dengan menewaskan Alisson dengan rembatan deras.

Selepas jaringan itu, Leicester memperkemas organisasi pertahanan mereka.

Virgil Van Dijk menerima bola di dalam kotak penalti, tetapi rembatannya ditepis oleh Kasper Schmeichel.

Masa semakin suntuk buat Liverpool. Di mana Leicester terus bertahan kental untuk memastikan 3 mata milik The Foxes.