Manchester City terpaksa menangguhkan pesta kejuaraan Liga Perdana Inggeris setelah tewas di tangan Chelsea dalam aksi di Etihad. Manchester City hanya memerlukan 1 kemenangan sahaja lagi untuk mengesahkan kejuaraan mereka musim ini.

Perlawanan awalnya dilihat didominasi oleh City. Namun kebangkitan Chelsea separuh masa kedua membuatkan perlawanan ini boleh dikatakan seimbang.

City dengan 16 percubaan dan 4 tepat. Manakala Chelsea dengan 12 percubaan dengan 5 tepat.

Walaupun Manchester City memberikan tekanan awal, namun aksi tidak begitu mengancam dalam setengah jam pertama. Timo Werner hampir meletakkan Chelsea di hadapan minit ke-32 namun gol dibatalkan kerana ofsaid.

Tidak lama selepas itu, Raheem Sterling berusaha menjaringkan gol dari luar kotak penalti. Tetapi gagal menewaskan Edouard Mendy.

Pada minit ke-44, Man City akhirnya berjaya membuka tirai jaringan menerusi Raheem Sterling.

Bola hantaran Gabriel Jesus gagal dikawal kemas Aguero, Sterling telah mencuri kesempatan dari kedudukan gawang terbuka.

Pada masa kecederaan City berpeluang menambah gol selepas Gabriel Jesus dijatuhkan oleh Bily Gilmour di kotak penalti.

Namun, Sergio Aguero, memilih untuk melakukan panenka yang lemah dan dengan mudah diselamatkan Mendy.

Ianya secara tak langsung membuatkan Chelsea mendapat motivasi tambahan. Pada separuh masa kedua, minit ke-51, Hakim Ziyech menguji Ederson tetapi tidak dapat menewaskannya.

Ziyech akhirnya menewaskan Ederson jua, pada minit ke-63. Berpunca daripada hantaran Cesar Azpilicueta di dalam kotak penalti, Hakim Ziyech kemudian melakukan rembatan kaki kiri yang tidak dapat dijangkau oleh Ederson.

City cuba mencari gol pendahuluan sekali lagi, namun aksi mereka kurang bertenaga. Raheem Sterling meminta penalti kedua untuk pasukannya namun tidak diendahkan pengadil.

Dan tiba pada masa kecederaan 90+2, Chelsea melakukan serangan pantas yang berjaya disudahkan Marcos Alonso. Kredit kepada Timo Werner yang melakukan cut back kepada pemain tersebut.

Tamat perlawanan, Thomas Tuchel menikmati kemenangan keduanya ke atas Guardiola sejak tiba di Chelsea. Tonik berharga untuk Tuchel dalam pertemuan ketiga mereka dalam aksi final UCL nanti.

Sergio Aguero meminta maaf dan mengakui bertanggungjawab di atas kegagalannya menyempurnakan penalti kerana keputusan yang dia ambil untuk melakukan panenka.

Baca juga artikel

Bundesliga: Bayern Juara 9 Kali Berturut Turut

EPL: Spurs Kalah Di Tangan Leeds, Gol Kane Dibatalkan Kerana Hujung ‘Boot’

TERKINI: FA Inggeris Mahu Final UCL Diadakan Di England Kerana Situasi Semasa Di Turki Dilabel Zon Merah