Divock Origi menjaringkan gol kemenangan lewat pada masa kecederaan sebelum wisel penamat untuk memberikan 3 mata berharga kepada Liverpool.

Kemenangan tersebut diperlukan Liverpool untuk meminta Chelsea yang sebelum itu tewas di tangan West Ham United.

Divock Origi dimasukkan pada separuh masa kedua. Dan beliau berjaya membalas kepercayaan Jurgen Klopp sekali lagi.

Liverpool sebelum ini cemerlang menjaringkan gol ke atas lawan mereka, termasuk ketika berhadapan dengan Arsenal dan Everton. Namun bergelut untuk mendapatkan gol di Molineux.

Pasukan tuan rumah malah memiliki beberapa momen yang terbaik untuk menghukum Liverpool.

Trent Alexander-Arnold melakukan voli yang tidak tepat. Kemudian Diogo Jota gagal menanduk masuk bola pada peluang keemasan pertamanya untuk menjaringkan gol menentang bekas kelabnya.

Seterusnya, usaha Mohamed Salah untuk mendapatkan gol ke-20 beliau musim ini digagalkan oleh satu pintasan cantik oleh Romain Saiss – dalam keadaan pintu gol sudah terbuka luas.

Peluang terus datang dan pergi untuk Liverpool selepas rehat. Dan peluang terbaik mereka muncul menerusi Diogo Jota.

Berlaku pergelutan antara penjaga gol Wolves, Jose Sa dan Saiss membenarkan pemain antarabangsa Portugal itu merampas bola dan meluru ke arah gawang tanpa dikawal, tetapi dia merembat terus ke arah Conor Coady.

Coady berjaya melakukan salah satu on the line clearance terbaik pada musim ini.

Jose Sa kemudian menafikan peluang Mane dan Salah. Sekaligus memberikan bayangan bahawa Liverpool bakal keciciran mata dan melepaskan peluang untuk memintas Chelsea.

Namun Sa akhirnya tewas juga di tangan Origi pada masa kecederaan. Kredit kepada Mohamed Salah yang melakukan cut back sempurna untuk Origi. Sebelum pemain antarabangsa Belgium itu memutarkan badannya dan merembat masuk.

Kemenangan tersebut meletakkan Liverpool memintas Chelsea. Liverpool berada di tangga kedua, kerana selepas itu, Manchester City menang 1-3 ke atas Watford.