Bait lagu Foo Fighters’ “All My Life” kedengaran dibunyikan di dalam stadium dengan rangkap Dave Grohl melaungkan: “Done, done and I’m on to the next one.”

Itu menandakan bahawa misi EPL Man City musim ini sudah menuju ke penamatnya dan nama mereka sudah boleh diukir pada piala tersebut.

Dan fokus mereka kini kepada separuh akhir kedua UCL berdepan dengan PSG di Etihad.

Tiada siapa akan lupa momen Aguero menjaringkan gol masa kecederaan ke atas QPR dahulu untuk memberikan City kejuaraan liga pada 2012.

Aguero sekali lagi terlibat dalam urusan untuk menentukan kejuaraan liga. Beliau memecahkan kebuntuan pasukannya pada minit ke-57. Aguero melakukan gol yang sangat cantik.

Ianya tipikal gol Aguero dengan sentuhan klasik no.9, satu kawalan dan satu rembatan terus gol. Aguero akan meninggalkan City akhir musim ini, dan beliau sudah berjaya membantu kelabnya menghampiri kejuaraan sekali lagi.

Dua minit kemudian, Ferran Torres memberikan gol kedua kepada City selepas bergelut sepanjang separuh masa pertama.

Kemenangan ini memboleh City hanya dibezakan dengan 1 kemenangan sahaja daripada kejuaraan EPL. Dan mereka boleh menjadi juara pada hari ini jika Man United tewas di tangan Liverpool.

Tetapi berdasarkan prestasi semasa amat sukar untuk melihat Liverpool menewaskan Man United.

Apa yang pasti City tetap berada dalam landasan yang sangat sukar digugat untuk kejuaraan musim ini setelah meraih kejuaraan Piala Liga.

City berpotensi menamatkan musim ini dengan treble untuk menamatkan rekod Man United sebagai satu satunya pasukan Inggeris dan pasukan dari Manchester meraih treble dengan kejuaraan UCL, EPL dan 1 piala domestik.