EPL telah memberitahu pegawai perlawanan yang bertugas agar menghentikan seketika perlawanan ketika waktu buka puasa.

EPL memiliki ramai bintang yang beragama Islam, termasuk bintang Liverpool, Mohamed Salah, bintang Chelsea, N’golo Kante, dan bintang Man City, Riyad Mahrez.

Bulan Ramadan adalah bulan di mana umat Islam seluruh dunia akan berpuasa. Ini termasuk pemain pemain beragama Islam yang bermain di EPL.

Premier League sudah memberitahu para pegawainya agar cakna dengan isu ini. Mereka akan berkomunikasi dengan pasukan yang bermain pada hari tersebut dan mendapatkan maklumat tentang pemain pemain yang berpuasa, jika ada.

Jika pemain berpuasa ini berada di atas padang, maka pengadil akan menghentikan perlawanan seketika ketika masuk waktu berbuka.

Biasanya ianya tidak akan mengambil masa yang lama. Pemain akan minum air serta memakan juadah ringkas, ada juga yang disediakan ‘supplements’ khas oleh pegawai nutrisi pasukan.

Sebenarnya, sejak beberapa tahun lalu lagi pengadil di EPL sudah diberikan kebenaran untuk menghentikan perlawanan atas budi bicara mereka bagi memberikan laluan kepada pemain pemain yang mahu berbuka puasa.

Jadi, ianya lebih kepada inisiatif yang diambil oleh pengadil secara peribadi dengan berkomunikasi dengan kapten pasukan, sebagai contoh.

Kapten Liverpool, Jordan Henderson pernah berkongsi, bagaimana dia sebelum sepak mula perlawanan, akan memberitahu pengadil tentang jumlah pemain Liverpool yang akan berbuka puasa di atas padang.

2 tahun yang lalu, pengadil yang mengadili perlawanan Leicester dan Crystal Palace menghentikan seketika perlawanan untuk membolehkan Wesley Fofana dan Kouyate berbuka puasa.

Ianya dianggap pertama kali pengadil menggunakan budi bicara untuk menghentikan perlawanan bagi izin laluan kepada pemain berbuka puasa.

Kali ini arahannya lebih jelas tentang masa berbuka puasa dan apa yang pengadil pengadil ini harus lakukan.

Ramai peminat bola sepak menghargai usaha ini. Kerana ianya bukti bahawa bola sepak itu sukan yang indah dan saling bertolak ansur.

Mereka juga menganggap langkah EPL dalam membenarkan pemain buka puasa ini juga akan membantu memperkenalkan lagi budaya umat Islam di UK dan beberapa negara barat yang lain.

Ini memandangkan EPL merupakan liga paling popular di dunia.