Penguasaan besar permainan sepanjang 90 minit aksi tidak langsung memberikan makna buat Liverpool selepas tunduk 1-3 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23 bertemu Brentford di Brentford Community Stadium, sebentar tadi.

Kekalahan itu sekali gus turut menghalang hajat Liverpool untuk melonjak ke tangga kelima bagi memintas Tottenham Hotspur.

Anak buah Jurgen Klopp mendapat peluang terbaik seawal minit kelapan tetapi percubaan Darwin Nunez selepas menerima umpanan cantik daripada Mohamed Salah diselamatkan oleh pemain pertahanan, Ben Mee ketika David Raya sudah keluar daripada posisinya.

Tuan rumah yang beraksi tanpa penyerang berbisa, Ivan Toney berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-19 menerusi gol sendiri Ibrahima Konate.

Pertahanan kelahiran Perancis itu tertampan bola ke gawang sendiri susulan sepakan sudut yang diambil Bryan Mbeumo untuk meletakkan Brendtford dihadapan.

Kem Liverpool mendakwa bola terlebih dahulu terkena tangan Ben Mee, bagaimanapun Video Assistant Referee (VAR) mengesahkan jaringan tersebut.

Bek kiri, Konstantinos Tsimikas mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-24 tetapi rembatan jarak dekat diledakannya berjaya diselamatkan Raya.

Brentford hampir menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-39 menerusi jaringan Yoane Wissa tetapi gol dihasilkannya dibatalkan VAR kerana beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Kehampaan itu bagaimanapun ditebus kembali Wissa hanya berselang tiga minit kemudian selepas beliau menyudahkan peluang susulan situasi kelam-kabut dalam kawasan penalti untuk memberikan kelebihan selesa buat Brentford.

Alex Oxlade-Chamberlain cuba merapatkan jurang pada minit ke-50 tetapi Mbeumo mematikan sisa perjuangan Liverpool pada minit ke-84 untuk memastikan kemenangan keenam buat skuad kendalian Thomas Frank itu.

Kemenangan berharga dicatatkan di hadapan penyokong sendiri itu meletakkan Brentford ditangga ketujuh dengan 26 mata, kekurangan dua mata berbanding Liverpool.