Jaringan tunggal Michail Antonio membantu West Ham United mencatatkan kemenangan  pada aksi kesembilan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2021/22 bertemu Tottenham Hotspur yang berlangsung di Stadium London, sebentar tadi.

Kejayaan pada derbi London itu juga merupakan kemenangan kedua berturut-turut diraih skuad kendalian David Moyes selepas mereka turut menang 1-0 ketika pertemuan menentang Everton, minggu lalu.

Kemenangan tersebut sekali gus melonjakkan The Hammers ke tangga keempat liga untuk mengumpul 17 mata susulan lima kemenangan, dua keputusan seri dan dua kekalahan, berkelebihan dua mata di hadapan Brighton dan Tottenham.

Tottenham yang dibimbing Nuno Espirito Santo bagaimanapun kelihatan lebih menguasai permainan dan memiliki beberapa peluang berbahaya tetapi penjaga gol West Ham, Lukasz Fabianski jelas cemerlang menghalang gawangnya daripada dibolosi.

Namun, West Ham terlebih dahulu menguji pintu gol pasukan pelawat seawal minit kelapan, namun percubaan akrobatik Pablo Fornals dalam kawasan penalti dinafikan Hugo Lloris.

Son Heung-min kemudiannya mendapat peluang terbaik pada minit ke-24 apabila beliau mendapat lorongan cantik Tanguy Ndombele tetapi percubaan pemain kelahiran Korea Selatan itu ditangkap kemas Fabianski.

Fabianski terus menjadi penghalang kepada usaha Tottenham untuk mendapatkan jaringan selepas beliau menafikan tandukan Harry Kane pada minit ke-43.

Ketika perlawanan memasuki minit ke-72, Antonio muncul wira buat West Ham apabila berjaya menguis masuk bola hasil sepakan sudut yang diambil Aaron Cresswell meskipun beliau dikawal rapi oleh Kane.

Jaringan tunggal Michail Antonio itu menyaksikan Tottenham mengalami kekalahan keempat pada dalam saingan musim ini dan lebih menarik keempat-empat perlawanan tersebut adalah menentang pasukan dari London (Crystal Palace, Chelsea, Arsenal dan West Ham United.

Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.

Selesai Lakukan Pembedahan Plastik, Tomas Soucek Terus Mahu Beraksi

Luqman Hakim: “Sebagai Striker, Mesti Orang Target Punya. Saya Kena Bijak Dan Jangan Ambil Mudah.”

Menang 5-2: King Puas Tebus Kegagalan Di Everton Dengan Hatrik Ke Atas Kelab Lamanya