Manchester United mengalami kekalahan memalukan di Old Trafford apabila kecundang 0-5 ditangan Liverpool pada aksi kesembilan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2021/22 yang berlangsung sebentar tadi.

Kelemahan di jentera pertahanan yang dikepalai Harry Maguire dan Victor Lindelof amat jelas kelihatan terutamanya pada separuh masa pertama sehingga membolehkan skuad kendalian Jurgen Klopp itu menjaringkan empat gol.

Segalanya tampak begitu mudah buat The Reds apabila Naby Keita membuka tirai jaringan seawal minit kelima selepas pemain tengah kelahiran Guinea itu mendapat umpanan baik daripada Mohamed Salah.

Keita yang hanya berhadapan dengan David De Gea tidak berdepan masalah untuk menolak masuk bola bagi meletakkan pasukan di tangga kedua liga itu di hadapan.

Dua minit kemudian, Keita melakukan lorongan cantik buat Roberto Firmino tetapi percubaan penyerang tersebut dinafikan De Gea bagi menyelamatkan gawang daripada terus dibolosi.

Marcus Rashford mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kembali kedudukan pada minit ke-10 tetapi percubaannya dari luar kawasan penalti selepas melakukan gerakan solo hanya sedikit tersasar.

Liverpool kemudiannya terus melebarkan kedudukan pada minit ke-13 selepas Diogo Jota mudah menghulurkan kakinya untuk menolak masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan bek kanan, Trent-Alexander Arnold.

Tuan rumah yang tersentak dengan situasi tersebut cuba untuk bangkit dengan dua percubaan menarik. Bagaimanapun, rembatan jarak jauh Luke Shaw sedikit tersasar di sebelah kiri manakala percubaan kaki kiri Mason Greenwood pada minit ke-29 dinafikan Alisson Becker.

Kealpaan jentera pertahanan United terus dihukum Liverpool dimana Mohamed Salah menolak masuk bola berikutan hantaran lintang Keita di sebelah kiri pintu gol untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-38.

Tidak cukup dengan itu, Salah menambah jaringan keempat ketika perlawanan memasuki masa kecederaan babak pertama dengan rembatan dalam kawasan penalti selepas menerima umpanan Jota.

Liverpool nyata cukup bernafsu untuk berpesta jaringan pada perlawanan ini apabila Salah menjaringkan gol kelima sekali gus melengkapkan hatrik buatnya pada minit ke-50.

Berpunca daripada usaha ketua pasukan, Jordan Henderson yang merampas bola dari kaki Fred dan terus melakukan lorongan baik buat Salah untukĀ  menyudahkan peluang terhidang dengan tolakan mudah sekali lagi menewaskan De Gea.

Manchester United berjaya mendapatkan jaringan pada minit ke-53 tetapi gol daripada Cristiano Ronaldo itu dibatalkan Video Assistant Referee (VAR) selepas beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Malang terus menimpa United pada minit ke-60 selepas Paul Pogba yang dimasukkan sebelum sepak mula babak kedua diperintah keluar padang berikutan kekasaran dilakukannya terhadap Naby Keita.

Kedudukan 5-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk Liverpool kekal di tangga kedua dengan 21 mata, kekurangan satu mata di belakang pendahulu liga, Chelsea.