Cristiano Ronaldo menikmati kepulangan semula ke Old Trafford dengan penuh bergaya apabila beliau berjaya meledakkan dua gol ketika membantu Manchester United menewaskan Newcastle United 4-1 pada aksi keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) 2021/22, sebentar tadi.

Tiga mata yang dicatatkan di laman sendiri itu juga melonjakkan United ditangga teratas liga dengan 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu keputusan seri.

Mendominasi permainan sejak dari wisel permulaan ditiup pengadil bertugas, Anthony Taylor, Manchester United bagaimanapun kelihatan sukar untuk menembusi jentera pertahanan skuad kendalian Steve Bruce itu.

Ronaldo akhirnya melonjakkan kegembiraan buat para penyokong The Red Devils ketika perlawanan memasuki masa kecederaan babak pertama selepas beliau berada di kedudukan tepat untuk menolak masuk bola susulan kesilapan penjaga gol, Freddie Woodman yang gagal menangkap kemas percubaan awal daripada Mason Greenwood.

Kelebihan itu bagaimanapun kembali dipadamkan pasukan pelawat  pada minit ke-56 apabila pemain bek kanan, Javier Manquillo mengambil kesempatan terhidang untuk menewaskan rakan senegaranya, David De Gea di gawang United.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Manchester United memperkemaskan aksi dengan melancarkan lebih banyak serangan ke kubu Newcastle United.

Usaha mereka membuahkan hasil berselang enam minit kemudian selepas Cristiano Ronaldo yang menerima umpanan daripada Luke Shaw sekali gus melakukan percubaan kaki kiri melepasi celah kaki Woodman untuk sekali lagi meletakkan Manchester United di hadapan.

Tidak cukup dengan jaringan pendahuluan tersebut, United menambah dua lagi jaringan menerusi rembatan cantik dari luar kawasan penalti pada minit ke-80 menerusi Bruno Fernandes dan percubaan ‘placing’ pemain gantian, Jesse Lingard di masa kecederaan bagi memastikan kemenangan 4-1 memihak skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu.

Teruskan membaca artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.

RASMI: Manchester United Umum Kehadiran Cristiano Ronaldo

EPL: Vieira Tamatkan Permulaan Sempurna Spurs, Edouard Cetak 2 Gol Debut

Odegaard Sertai Arsenal Untuk Menang UCL, EPL Dan Trofi Lain