Cristiano Ronaldo menjadi watak penting dalam membantu Manchester United mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas musuh tradisi, Arsenal pada aksi ke-14 Liga Perdana Inggeris (EPL) 2021/22 yang berlangsung di Old Trafford, sebentar tadi.

Kemenangan yang dicatatkan itu juga segera melupakan kesilapan dilakukan Fred yang mengasari rakan sepasukannya, David De Gea sehingga menyebabkan gol ‘pelik’ pasukan pelawat terhasil susulan insiden tersebut.

Aksi berbalas serangan yang ditampilkan kedua-dua pasukan sejak dari awal permainan dan jaringan pembukaan berjaya dihasilkan pada minit ke-13 perlawanan.

Berpunca daripada tindakan Fred yang tidak sengaja memijak kaki De Gea ketika beliau cuba untuk membantu jentera pertahanan sehingga menyebabkan penjaga gol kelahiran Madrid itu terbaring kesakitan.

Keadaan itu membolehkan Emile Smith Rowe melakukan rembatan yang sekali gus memberikan kelebihan buat Arsenal. Jaringan tersebut pada mulanya dibatalkan oleh pengadil perlawanan, Martin Atkinson tetapi rujukan Video Assistant Referee (VAR) mengesahkan gol pemain muda itu.

Memasuki minit ke-44, Fred menebus kesilapannya apabila beliau melakukan hantaran baik kepada Bruno Fernandes dalam kawasan penalti lalu disempurnakan dengan baik pemain tengah itu untuk kembali mengikat kedudukan menuju rehat separuh masa pertama.

Cristiano Ronaldo menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-52 setelah pemain berusia 36 tahun itu berada di kedudukan tepat bagi menolak masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan Marcus Rashford.

Ia merupakan koleksi jaringan ke-800 dalam karier profesional Ronaldo bersama kelab dan skuad kebangsaan Portugal.

Kelebihan tuan rumah itu hanya mampu bertahan selama dua minit apabila Martin Odegaard pula tidak mensia-siakan peluang terhidang di dalam kawasan penalti ketika beliau tidak dikawal pertahanan Manchester United untuk kedudukan kembali terikat.

Kedudukan sekali lagi berubah selepas Cristiano Ronaldo mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-70 susulan kesilapan Odegaard melakukan kekasaran terhadap Fred dalam kawasan penalti.

Arsenal cuba untuk mendapatkan jaringan penyamaan dengan beberapa percubaan berbahaya tetapi De Gea dan barisan pertahanan kental bertahan untuk memastikan kemenangan keenam menjadi milik Manchester United.

Dengan kemenangan ini, United melonjak ke tangga ketujuh untuk mengumpul 21 mata, hanya ketinggalan dua mata di belakang Arsenal yang berada di kedudukan kelima.