Pengendali skuad Sepanyol, Luis Enrique mengakui bahawa beliau memberikan tumpuan khusus kepada sepakan penalti sejak daripada awal kerana bimbang akan sekali lagi mengharungi situasi tersebut pada aksi pusingan 16 Piala Dunia 2022.

Sepanyol hampa menerusi penentuan sepakan penalti ketika aksi separuh akhir Kejuaraan Euro 2020 bertemu Itali apabila tewas 2-4 berikutan kegagalan Dani Olmo dan Alvaro Morata untuk menyempurnakan sepakan.

Enrique sudah pastinya tidak mahu keadaan tersebut berulang lagi dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan perlawanan akan dilanjutkan sehingga ke penentuan sepakan penalti.

Susulan dengan itu, beliau menegaskan tumpuan khusus telah diberikan dengan memberikan ‘kerja rumah’ untuk menghadapi situasi itu.

“Saya membayangkan bahawa merek telah membuat kerja rumah mereka. lebih setahun yang lalu, di salah satu kem Sepanyol, saya memberitahu mereka supaya sampai ke sini dengan sekurang-kurangnya 1000 penalti diambil.”

“Jika anda menunggu sehingga tiba di sini baru nak berlatih sepakan penalti, ia tidak mencukupi,” ujar Luis Enrique menurut laporan Goal.

“Ia merupakan tekanan yang maksimum, masa untuk menunjukkan keberanian dan anda boleh mengambil sepakan penalti mengikut cara anda membuat keputusan jika anda telah berlatih sebanyak seribu kali.”

“Ia menceritakan banyak perkara tentang setiap daripad apemain. Ia boleh dilatih, diuruskan dan bagaimana cara anda menguruskan tekanan.”

“Kami mempunyai penjaga gol yang sangat baik, mana-mana daripada ketiga-tiga mereka boleh melakukannya dengan sangat baik dalam situasi ini. Setiap kali kami tamat latihan, saya lihat ramai pemain mengambil penalti.”

Sepanyol akan berhadapan Maghribi pada aksi pusingan 16 yang akan berlangsung 11 malam ini di Education City Stadium, Qatar.