Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin telah mengumumkan hanya tiga daripada sembilan pasukan yang beraksi pada Liga Premier 2019 telah lulus dan diberikan lesen kelab kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi dalam saingan Liga Super atau Liga Premier 2020, jika mereka layak.

Tiga kelab yang diberikan lesen kebangsaan itu adalah Negeri Sembilan FA, Sabah FA dan UITM FC.

Manakala enam pasukan yang tidak lulus dalam perlesenan kelab berisiko diturunkan ke liga divisyen 3 (Liga M3) pada musim 2020 sekiranya gagal melengkapkan dokumen yang disyaratkan oleh FAM sebelum 30 Oktober ini.

Pengerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif menjelaskan enam pasukan daripada Liga Premier yang tidak diberikan lesen kebangsaan ialah PDRM FA, Pulau Pinang FA, Selangor United FC, Kelantan, Sarawak dan UKM FC.

“PDRM, Pulau Pinang dan Selangor United diberikan lesen kebangsaan tetapi bersyarat iaitu perlu melengkapkan dokumen tersebut sebelum 30 Oktober ini, jika tidak mereka akan diturunkan ke saingan Liga M3.

“Untuk Kelantan, Sarawak dan UKM, kami menangguhkan keputusan status permohonan mereka memandangkan ini kali pertama lesen ini diwajibkan kepada pasukan di Liga Premier, tetapi mereka juga perlu lengkapkan borang sebelum tarikh yang sama dan jika tidak mereka akan diturunkan ke Liga M3,” katanya pada sidang media.

71404416_2403977596365657_514790760009170944_o
FOTO: FAM

Bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2019.

Lesen kebangsaan ini adalah sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2020 dan sepanjang musim berkenaan, jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2019 atau dalam apa juga keadaan yang menyebabkan pengeluar lesen (FAM) tidak berpuas hati, lesen kelab mereka boleh ditarik balik.

Sebagai langkah proaktif juga, FAM untuk kali ini telah mensyaratkan setiap pasukan wajib menghantar surat pengisytiharan yang mereka bebas daripada sebarang tunggakan gaji, KWSP, LHDN dan Perkeso kepada FAM selewat-lewatnya pada 15 Disember 2019, menjelang musim baharu Liga Super dan Liga Premier 2020.

Tahukah anda, 3 pasukan Liga Super didapati gagal melengkapkan dokumen perlesenan kelab untuk musim 2020. Baca artikel dibawah untuk mengetahui lebih lanjut. 

Tiga Pasukan Liga Super Gagal Hantar Dokumen Lengkap Perlesenan Kelab

Sembilan Pasukan Lulus Lesen Kelab Untuk Liga Super 2020

Sumber