Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan status 7 pasukan yang telah diberikan lesen kelab kebangsaan secara bersyarat pada 5 Oktober 2020 lalu setelah diteliti semula oleh First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM melalui mesyuarat yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa, 12 Januari 2021.

Antara 7 pasukan yang terlibat ialah Pahang, Melaka, Kelantan, Sarawak United FC, Pulau Pinang, Kuching FA serta UKM FC.

Semua pasukan kecuali UKM FC telah disahkan berjaya memenuhi syarat yang ditetapkan untuk lesen kelab kebangsaan bagi membolehkan mereka layak beraksi, masing-masing pada saingan Liga Super 2021 dan Liga Premier 2021.

“Pasukan-pasukan yang telah berjaya dianugerahkan lesen penuh itu adalah Pahang FA dan Melaka FA dari Liga Super dan Kelantan FA, Sarawak United FC, Pulau Pinang FA dan Kuching FA dari Liga Premier.

“Sementara lesen bersyarat yang dipegang oleh UKM FC telah ditarik balik kerana tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan,” kata kenyataan daripada Pengerusi FIB Pelesenan Kelab FAM, Sheikh Mohd Nasir.

139602543_384277299312179_8215929070925921063_o
FOTO: FAM

Bagaimanapun, lesen yang diperoleh kesemua enam pasukan di atas ini hanya merupakan lesen kebangsaan FAM dan ia tidak membabitkan lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Walaupun kesemua pasukan tersebut telah berjaya mendapat lesen penuh, pasukan Melaka FA yang masih terdapat tunggakan LHDN dan KWSP sebanyak RM276,169.75 sepertimana yang telah dimaklumkan kepada FIB pada mesyuarat tersebut, telah berjaya mendapat perjanjian bersama untuk pembayaran berjadual dan bayaran seterusnya akan dibuat sebelum tarikh yang ditetapkan.

Sekiranya Melaka FA gagal membuat bayaran, tindakan-tindakan sanksi termasuk dan tidak terhad kepada penarikan balik lesen boleh dikenakan oleh FIB.

Pemantauan berterusan dibuat untuk memastikan tiada tunggakan atau terdapat perjanjian bersama untuk penyelesaian atau bayaran berjadual supaya pasukan tersebut masih dalam pematuhan dengan syarat oleh lesen mereka.

Jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM atau mempunyai kes tunggakan berkaitan dengan FIFA dan AFC, lesen kelab mereka boleh ditarik balik pada bila-bila masa.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah. 

Bangunan Dua Tingkat Berbentuk Jata JDT Bakal Dibina Bersebelahan Stadium Sultan Ibrahim

Stadium MBPJ Jadi Gelanggang Rasmi Selangor FC Selama 3 Tahun

Nasib JDT Dalam Saingan AFC Champions League Diketahui Pertengahan Bulan Ini

CEO KDA FC Nafi Bakal Dapatkan Khidmat Mohamadou Sumareh