Empat pemain terpaksa digugurkan daripada kem latihan pusat skuad B-23 tahun negara bimbingan Brad Maloney ekoran penularan wabak COVID-19 dan beberapa sebab lain.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana pemain Terengganu, Safwan Mazlan digugurkan kerana positif COVID-19 manakala tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Alif Mutalib, Umar Hakeem dan T. Shaheeswaran dikembalikan ke kelab masing-masing.

Bagi Alif Mutalib, ini merupakan kali kedua beliau tidak dapat beraksi bersama skuad B-23 tahun negara dimana sebelum ini beliau turut digugurkan daripada pasukan ketika mahu menghadapi saingan kelayakan AFC B-23 tahun di Ulaanbaatar, Mongolia pada tahun lalu.

Pada masa yang sama, Brad telah memanggil empat pemain Selangor iaitu penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman serta tiga pemain pertahanan, Ahmad Zikri Mohd Khalili, Muhammad Azrin Afiq Rusmini dan Harith Haiqal Adam Afkar.

Empat pemain ini beraksi ketika saingan peringkat kelayakan dan Brad menjelaskan mereka dipanggil untuk memperkuatkan benteng pertahanan yang dilihat agak goyah ketika aksi persahabatan bertemu Sabah di Kota Kinabalu pada hari sabtu lepas.

Senarai akhir 28 pemain yang akan dipilih untuk mewakili negara dalam Piala AFF B-23 tahun akan diumumkan pada hari Jumaat ini.

Skuad B-23 kebangsaan dijadual berlepas ke Phnom Penh pada 12 Februari 2022 bagi menghadapi tiga perlawanan Kumpulan B menentang Myanmar pada 15 Februari 2022 di Stadium Prince, Laos pada 18 Februari 2022 di Stadium Prince dan Indonesia pada 21 Februari 2022 di Stadium Nasional Morodok Techo.

Seterusnya juara Kumpulan A, B dan C serta satu pasukan naib juara kumpulan terbaik akan mara ke separuh akhir pada 24 Februari 2022 manakala Final dijadual berlangsung pada 26 Februari 2022. Saingan kalah mati ini berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo.

Kumpulan A menampilkan tuan rumah Kemboja, Timor-Leste, Filipina dan Brunei manakala Kumpulan C dibarisi hanya tiga pasukan iaitu Thailand, Vietnam dan Singapura.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan negara dan saingan Liga Malaysia di sini:

Video Aksi ‘Katok Orang’ Cemarkan Perlawanan Terengganu FC II Bertemu Penang FC, Muka Adib Ra’op Berdarah

Kedah Tekad Kalahkan JDT Untuk Jadi Juara Liga Super 2022

Piala AFF B-23: Empat Tonggak Utama Dipanggil Perkuat Benteng Pertahanan Malaysia